Kanak-kanak lelaki mati lemas ketika berkelah
Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia di hospital selepas lebih sejam bertarung nyawa akibat dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Ulu Piah di Tambun dekat sini hari ini.
Izz Auf Ghazali, 4, disahkan meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah hari ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa datang ke lokasi itu pada pukul 10 pagi untuk berkelah bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya.
Menurut beliau, semasa mandi, mangsa dikatakan menjerit meminta tolong dan bapa saudaranya cuba menyelamatkan kanak-kanak itu namun gagal dan dia dihanyutkan arus sebelum hilang.
“Bapa saudara mangsa meminta pertolongan penduduk dan orang awam. Seorang lelaki yang kebetulan sedang berbasikal menjumpai mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa naik ke tebing sungai dan segera dihantar ke HRPB,” katanya.
Menurut beliau, mangsa diberikan bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia semasa rawatan. – Utusan