Kanak-kanak diberi dadah: Tak tahu anak dibawa keluar, ibu dedah perkara sebenar

Kanak-kanak diberi dadah: Tak tahu anak dibawa keluar, ibu dedah perkara sebenar

 

Tular di media sosial hari ini mengenai kejadian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang kritikal selepas dipercayai telah diberi dadah jenis methamphetamine dalam kejadian di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, Kelantan.

Menurut laporan, kandungan dadah didapati berada di dalam badan mangsa selepas doktor menjalankan ujian air kencing terhadapnya.

Terbaru, ibu kepada mangsa mendedahkan bahawa dia pada awalnya menyangka anak lelakinya itu lemas di sungai selepas dibawa keluar oleh bapa saudaranya kira-kira pada jam 2 petang.

Memetik laporan Kosmo, ibu mangsa yang berusia 36 tahun itu berkata dia telah menidurkan anaknya setelah melihat kanak-kanak itu letih dan pucat serta sering terkejut sebanyak beberapa kali.

“Melihat kepada keadaan anak yang letih dan pucat, saya terus menidurkannya. Ketika sedang tidur, saya dapati dia sering terkejut beberapa kali dan mukanya bertambah pucat.

“Kira-kira pukul 1 pagi semalam, saya melihat keadaan anak saya semakin lemah seperti tidak bernafas. Saya mengesyaki dia lemas di sungai kerana keadaannya terlalu lemah selepas dihantar oleh suspek,” katanya ketika dihubungi oleh Kosmo.

Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada pukul 5 pagi setelah merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Setelah diperiksa, dia terkejut apabila mengetahui bahawa punca yang menyebabkan keadaan anaknya lemah adalah disebabkan oleh dadah.

“Saya mengesyaki perbuatan ini dilakukan oleh sepupu yang juga bapa saudara anak saya ketika membawanya keluar dalam tempoh tiga jam.

“Sebelum ini, dia tidak pernah membawa anak saya keluar meskipun kerap datang ke rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga tidak mengetahui bahawa sepupunya telah membawa anaknya keluar.

Malah, dia juga telah keluar mencari anaknya itu sebelum suspek menghantar kanak-kanak tersebut pulang kira-kira pukul 5 petang.

Sementara itu, mangsa kini berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II dan masih lagi kritikal.