Kanak-kanak 9 tahun didakwa dicekik hingga mati setelah diliwat, dua lelaki ditahan polis

Kanak-kanak 9 tahun didakwa dicekik hingga mati setelah diliwat, dua lelaki ditahan polis

Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Uttar Pradesh, India didakwa diliwat dan dicekik hingga mati oleh dua pemuda yang berasal dari kampung yang sama, lapor India Times.

Laporan menyatakan bahawa budak lelaki yang berasal dari sebuah kampung di daerah Balrampur itu sedang berada di kawasan pameran tempatan pada 14 Februari.

Di sana, dia telah dilaporkan hilang dan selepas itu bapanya terus membuat laporan. Beberapa hari kemudian, mayatnya telah dijumpai dimasukkan ke dalam sebuah beg yang diletakkan berhampiran dengan sebuah kolam di kampungnya. Polis kemudiannya segera menghantar mayat tersebut untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa terdapat serangan seksual yang berlaku sebelum kanak-kanak itu dibunuh. Susulan daripada itu, polis telah menahan dua pemuda tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Ketika soal siasat dijalankan, kedua-dua mereka mengakui perbuatan mereka itu, menurut laporan The Indian Express.

“Ketika kanak-kanak itu tidak sedarkan diri (selepas serangan seksual), tertuduh berasa takut dan memutuskan untuk membunuhnya. Kanak-kanak itu dicekik hingga mati dan kemudian tubuhnya dibuang ke dalam kolam berdekatan,” laporan itu memetik kenyataan seorang pegawai polis.

Polis telah memerintahkan tertuduh didakwa di bawah IPC Seksyen 302 (pembunuhan) dan 201 (menyebabkan hilangnya bukti kesalahan) dan seksyen yang relevan dalam Akta POCSO. – SK, India Times