Bimbang dimarahi bapa, kanak-kanak 11 tahun reka cerita diculik lelaki naik MPV
Polis mengesahkan tiada cubaan culik seorang murid lelaki berusia 11 tahun semalam seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Gani berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular kira- kira pukul 5 petang tadi berhubung cubaan melarikan murid di hadapan pondok hentian bas Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat keluarga pelajar berkenaan kira-kira pukul 4.25 petang semalam.
“Mangsa pada awalnya menyatakan telah dihampiri lelaki berpakaian serba hitam menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) namun berjaya melepaskan diri dari pegangan lelaki itu.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa hanya mereka cerita tentang kejadian itu kerana bimbang dimarahi bapanya setelah dia pulang dengan berjalan kaki seorang diri ke Pekan Kuala Pilah,” katanya menurut Kosmo.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pengguna Facebook yang menyatakan anak buahnya hampir diculik, namun dapat menyelamatkan diri setelah menumbuk kemaluan suspek.
Penculik itu kemudiannya melarikan diri menaiki kenderaan jenis Perodua Alza berwarna hitam.