‘Kami akan cuba bantu kome..’

‘Kami akan cuba bantu kome..’

 

Prihatin terhadap mangsa banjir di Lembah Klang, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian di Perak menghantar bot bagi membantu mereka yang terkandas dalam bencana itu.

Ibu dua anak, Azura Manas, 37, berkata dia dan suami, Mohd Amli Mohd Mohiyadeen, 35, bertolak dari rumah di Tanjung Tualang pada jam 1 tengah hari semalam sebelum sampai di Sri Muda, Shah Alam pada jam 5 petang.

Katanya, mereka membawa bot sendiri yang diletakkan di atas bumbung kereta Perodua Myvi untuk membantu mangsa yang masih terkandas di penempatan masing-masing.

“Kami memang selalu bawa bot dengan kereta ini untuk pergi memancing dan tak sampai hati serta kasihan apabila melihat situasi banjir di sana, jadi kami ambil keputusan membantu mangsa banjir.

“Ketika ini kami masih membantu mengeluarkan mangsa dengan bot. Kami belum tahu bila mahu pulang ke Perak, tengok keadaan dulu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini sambil memberitahu mereka ke Sri Muda kerana keadaan di sana lebih teruk.

Azura berkata, dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun ditinggalkan di rumah dan meminta rakan membantu melihat anaknya selama ketiadaannya.

“Mahu bantu dari segi wang di luar kemampuan, jadi kami bantu dengan kudrat dan bot,” katanya yang turut menyertai misi bantuan banjir di Kuala Krai, Kelantan pada 2014.

Wakil NGO, Mohamad Aswadi Mohd Ariffin, 30, berkata mereka dalam perjalanan menghantar tiga unit bot angin ke Selangor hasil inisiatif gabungan lebih 10 NGO seluruh Perak.

Katanya, bukan sahaja bot, mereka turut membawa barang keperluan seperti makanan kering, lampin pakai buang, keperluan mandi, pakaian terpakai dan tuala wanita.

“Kami mewujudkan satu kumpulan di aplikasi WhatsApps yang mengabungkan semua NGO di Perak dalam usaha membantu mangsa banjir di Lembah Klang. Bot diberi pinjam oleh NGO dan pengendali operator sukan air.

“Perancangannya kami mahu ke Dengkil kerana dengarnya di sana masih ada yang terkandas atau ke Sri Muda.

“Semalam pun saya difahamkan sudah ada bantuan beberapa bot sudah dihantar ke sana dan hari ini tambahan tiga unit lagi,” katanya.

Mohamad Aswadi berkata, mereka juga bersiap sedia dengan beberapa bot untuk digerakkan ke Lembah Klang bila-bila masa jika ada keperluan selain bersiap sedia untuk banjir di Perak juga.

Sementara itu, seorang pengusaha bot nelayan di Pantai Remis, Manjung yang enggan dikenali juga sudah menghantar dua botnya ke Lembah Klang.

Katanya, dia juga pernah berdepan situasi banjir walaupun paras air tidak setinggi banjir yang berlaku di Lembah Klang ketika ini menjadikan dia mahu bersama-sama membantu.

“Saya sewa trak tunda untuk hantar bot ke sana dan di sana akan ada rakan yang menguruskan. Terpulang pada mereka mahu gunakan di mana,” katanya.

Kereta Perodua Myvi Azura dan suami yang membawa bot untuk membantu mangsa banjir di Sri Muda. – Foto FB Azura