Kamen Rider jual asam boi di Padang Polo
Kesulitan menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19) menjadikan rakyat Malaysia semakin kreatif mencipta kelainan terutama dalam berniaga.
Begitu juga yang dilakukan seorang anak muda dari Ipoh ini yang memilih mengenakan kostum adiwira popular dari Jepun tahun 80-an ketika menjaja jeruk asam boi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini, sejak sebulan lalu.
Samad Ismail, 31, memilih watak Kesatria Baja Hitam atau kini lebih dikenali sebagai Kamen Rider untuk menarik perhatian orang ramai.
Ketika ditemui dia berkata, minat sejak kecil terhadap watak adiwira itu memberikan idea kepadanya untuk dijadikan gimik melariskan jualan.
Katanya, walaupun terpaksa berpanas dan berpeluh kerana perlu menyarung kostum penuh menutup seluruh badan, dia berpuas hati kerana usaha itu dihargai orang ramai.
“Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan ini, jualan asam boi sangat memberangsangkan.
“Ramai yang singgah kerana tertarik dengan kostum yang dipakai, alang-alang membeli mereka juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama,” katanya.
Samad mengakui kostum dikenakan menjadi tarikan orang ramai untuk datang membeli.
Samad berkata, kostum berkenaan dijahit sendiri olehnya dengan sebahagiannya menggunakan bahan-bahan terpakai antaranya kasut getah.
“Setakat ini saya sudah ada enam kostum yang kebanyakannya watak Kamen Rider untuk saya pakai secara berganti ketika aktiviti jualan asam boi.
“Saya jadi seronok bila orang ramai teruja melihat saya memakai kostum sebegini,” katanya yang turut menyediakan gegantung memaparkan watak-watak hero tersebut bersama perkataan ‘henshin’ bermaksud ‘bertukar’.
Menurutnya, aktiviti jualan asam boi hanya dilakukan pada hujung minggu di Padang Polo bermula jam 4.30 petang dan setiap bekas berisi mangga atau jambu itu dijual pada harga RM10.
Dia mengambil inisiatif berniaga untuk menambah pendapatan keluarga selepas hilang pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu peribadi, apabila diberhentikan majikan, saya buat kerja sambilan sebagai penghantar makanan.
“Oleh kerana keadaan ekonomi sekarang masih belum menentu, saya tekad untuk cari sumber pendapatan sampingan melalui jualan asam boi ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian