“Kalimah ALLAH adalah kalimah suci..” – Pemangku Sultan Johor titahkan pihak berkuasa ambil tindakan tegas

“Kalimah ALLAH adalah kalimah suci..” – Pemangku Sultan Johor titahkan pihak berkuasa ambil tindakan tegas

 

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, langkah itu perlu diambil bagi memastikan isu seperti itu tidak akan berulang lagi.

“Kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam. Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu berkenaan dan memastikan isu seperti ini tidak akan berulang lagi.

“Isu ini tidak boleh dipandang remeh. Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda dalam akaun Facebook, hari ini.

Pada 13 Mac lalu tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Ia menyebabkan polemik berterusan membabitkan Pemuda Umno yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot manakala MCA pula mengkritik tindakan berkenaan yang disifatkan terlalu agresif.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.