“Kalau SKMM boleh kawal TikTok, takdelah platform tu jadi tempat penyebaran fitnah pembangkang macam sekarang”

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, jika benar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai kuasa menghalang akses di TikTok, platform itu tidak akan jadi tempat penyebaran fitnah.
Beliau dalam ciapan di Twitter merujuk kepada kenyataan SKMM semalam yang menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghalang akses dan memadam akaun TikTok Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Kalau SKMM boleh control (kawal) TikTok, takdelah platform tu jadi tempat penyebaran fitnah pembangkang macam sekarang.
“Punyalah banyak akaun fitnah saya dekat TikTok tu, nak kesan siapa pemilik akaun pun saya tak dapat. Ini nak kata kerajaan boleh kawal TikTok? Tolonglah,” ujarnya di Twitter.
Rata-rata turut bersetuju dengan ciapan tersebut, mengatakan jika suruhanjaya itu benar-benar mempunyai kuasa sedemikian, sudah pasti semua ahli politik Perikatan Nasional (PN) akan disekat dari menggunakan sosial media.
Terdahulu, Sanusi mendakwa akaun TikToknya disekat dan sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya bagi memudahkannya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadapnya.
Beliau juga mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok disekat.
“Depa padam TikTok saya. Tak sat (tadi) kita buka, tak dak pi dah (sudah tiada). Kita baru dok (sedang) popular, medan kita nak jawab (isu) habislah.
“TikTok (saya) tak dak dah lah malam ni (sebab) kena padam, (ada) 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain, kena cari seorang demi seorang, lambat,” katanya.