‘Kalau kejar masa, bersiap awal’ – Tak perlu bazir tenaga polis iring VIP

‘Kalau kejar masa, bersiap awal’ – Tak perlu bazir tenaga polis iring VIP

 

Sudah tiba masanya khidmat polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat dimansuhkan kerana hanya membazirkan kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, khidmat berkenaan perlu dimansuhkan.

Katanya, tidak perlu membazirkan tenaga kerja PDRM bagi buat kerja ‘outrider’ kepada menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook, di sini, hari ini.

“Kalau kamu mengejar masa, kamu sepatutnya merancang dan bersiap lebih awal atau membantu cari jalan penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider,” katanya.

Steven berkata demikian susulan video tular sejak semalam mengenai dua anggota trafik yang mengiringi orang awam di Jalan Bukit Gambir, di sini.

Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik akaun anwarazeez itu memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik yang menaiki motosikal polis.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Polis Pulau Pinang sudah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota trafik berkenaan selain melakukan siasatan terperinci.