Kakak ipar mengidam kerepek mace, wanita ini terpaksa minta bantuan netizen

Kakak ipar mengidam kerepek mace, wanita ini terpaksa minta bantuan netizen

Gara-gara kakak ipar kesayangan mengidam kerepek manchor, seorang wanita terpaksa menggunakan kuasa tular di laman sosial untuk membantu mencari makanan itu bagi memenuhi hajat berkenaan.

Saidatul Najmin Azman, 25, berkata, kakak iparnya, Siti Hajar Mispon, 36, sedang hamil tiga bulan bagi menyambut cahaya mata ketiga dan dijangka bersalin akhir pada September atau awal Oktober depan.

Lebih menyedihkan, katanya, Siti Hajar juga seorang suri rumah kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh kerana dijangkiti COVID-19 dan sukar untuk mendapatkan makanan berkenaan, lapor Sinar Harian.

Malah, kata Saidatul Najmin, pengalaman mengidam kerepak machor bukan kali pertama berlaku kerana tujuh tahun lalu Siti Hajar turut mengidam makanan yang sama.

“Tujuh tahun lalu, kak Siti pernah mengidam kerepek itu dan kali ini dia mengidam benda yang sama tetapi saya tidak tahu hendak cari di mana.

“Rupa kerepek ini seakan rempeyek tetapi berbentuk segi empat sama. Pada awalnya, abang dan saya ada tunjuk rempeyek tetapi kak Siti mahukan juga kerepek manchor,” katanya pada Khamis.

Saidatul Najmin merupakan seorang akauntan bagaimanapun berjaya menemui penjual kerepek tersebut menerusi bantuan warganet di Twitter.

“Kerepek ini sukar diperoleh dan mungkin tidak ramai yang membuatnya. Kalau tak silap, ia popular di Perak. Jadi saya nekad untuk ciap di Twitter.

“Tidak sangka ia tular dan ramai netizen membantu mencarikan kerepek berkenaan. Saya juga sudah membelinya dan Insya-ALLAH, minggu depan akan sampai,” katanya yang turut melahirkan rasa syukur.

Dia juga meluahkan rasa gembira kerana ciapannya membantu warganet berkongsi rezeki kerana secara tidak langsung telah mempromosikan produk mereka di ruang komennya.

Malah, produk kerepek manchor yang dijual di e-dagang Shopee laris dan habis terjual susulan warganet turut membeli produk tersebut.
Perkara itu dikongsi oleh warganet @azeerahamir, “Amboi terus sold out (habis), semua ngidam ke”.

Malah @azie75homemade turut berkongsi bahawa produk tersebut ada dijual di Tanjung Karang dan @adieu1999 berkata, dia pernah membelinya di Petronas sebelum tiba di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.

Ciapan Saidatul Najmin sebelum itu tular dan menarik perhatian netizen setelah meminta pertolongan warganet untuk mencari kerepek manchor gara-gara kakak iparnya mengidam.

“Gais, tolong gais. Kakak ipar aku mengandung, mengidam nak kerepek ni. Sebiji macam ini. Bukan rempeyek ye. Tu yang bulat. Aku tanya dah. Dia tak nak yang itu. HELP ME PLEASEEEE FOR MY FUTURE ANAK BUAH. Siap dia bila dia keluar,” ciapnya. – AA