Kaji balik manifesto PRU14, mansuh hutang PTPTN janji PAS – Nik Nazmi ‘sekolahkan’ Asyraf Wajdi

Kaji balik manifesto PRU14, mansuh hutang PTPTN janji PAS – Nik Nazmi ‘sekolahkan’ Asyraf Wajdi

 

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menolak dakwaan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya yang lalu (PRU14) adalah kerana janji mereka untuk menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau memberi maklum balas itu susulan kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa ramai telah termakan “pembohongan” PH untuk menghapuskan hutang pelajar terbabit.

Dalam catatan Facebook hari ini, Nazmi berkata, PAS yang membuat janji sedemikian.

“Jika Asyraf ingin menuding jari berkaitan janji pemansuhan PTPTN, adalah lebih baik kemarahan itu dihalakan kepada PAS, yang kini berada di dalam kerajaan pusat lebih lama daripada PH.

“Andainya Asyraf mengkaji perbandingan manifesto PRU14, sudah pasti dia menemui janji PAS untuk memansuhkan terus hutang PTPTN,” katanya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu menegaskan, satu-satunya janji yang pernah dibuat PH adalah untuk menangguhkan pembayaran sehingga graduan memperoleh pendapatan bulanan RM4,000.

“Kita mengerti PTPTN merupakan bebanan untuk graduan, lebih-lebih di Malaysia masalah permulaan gaji graduan yang rendah masih berlaku,” katanya.

Menurutnya, individu yang harus bertanggungjawab berhubung isu hutang PTPTN ialah pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau dilantik sejak PH mengambil alih pentadbiran.

“Bagi PH, orang paling utama yang perlu bertanggungjawab dalam isu ini adalah Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau diberikan amanah sejak zaman PH hingga ke hari ini sebagai pengerusi PTPTN.

“Malangnya, bermula dari zaman PH sehingga ke hari ini, Wan Saiful dan pasukannya belum datang dengan kaedah pembayaran yang mampu membantu para graduan,” tambahnya.