Kadar zakat minimum Perak kekal RM7

Kadar zakat minimum Perak kekal RM7

 

Perak masih mengekalkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut kepada jenis beras yang lazim dimakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 hingga 6 Januari lalu.

Menurutnya, kadar RM14 yang ditawarkan adalah bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya.

Manakala kadar RM21 bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya.

“Kita menyediakan beberapa platform seperti Financial Process eXchange (FPX) melalui portal MAIPk, aplikasi GoPayZ, Shopee, Maybank2u dan aplikasi Snap N Pay bagi kemudahan bayaran dalam talian.

“Bagi bayaran melalui amil, kutipan zakat fitrah boleh dilakukan melalui kaunter di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar raya, stesen minyak dan pejabat kerajaan serta swasta terpilih.

“Kaedah ini juga boleh dilaksanakan oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bayaran melalui amil perlu dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara kawalan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, amil dan pembayar hendaklah sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakkan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pembayar zakat juga digalakkan menyediakan wang secukupnya bagi melancarkan proses bayaran dan tidak bersalaman semasa akad bayaran zakat,” katanya.