Kadar bantuan zakat di Perak akan dinaikkan

Kadar bantuan zakat di Perak akan dinaikkan

 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berkemungkinan akan menaikkan kadar bantuan zakat di negeri ini susulan peningkatan kos sara hidup dan inflasi dalam negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, pihak MAIPk telah melaksanakan pemakaian had kifayah zakat sejak tahun 2009 lagi.

Jelas beliau, kajian semula had kifayah bagi tujuan penambahbaikan had kecukupan mengikut perkembangan semasa telah dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2012, 2014 dan 2021.

“Sebenarnya kita buat kajian had kifayah ini berdasarkan keperluan yang mana kita tengok perkembangan ekonomi pada masa itu. Sekiranya memerlukan untuk kita buat kajian, kita turun padang.

“Sejak pandemik bermula tahun 2020, jadi di situ terdapat golongan yang jatuh kepada mudah miskin dan kita buat kajian balik semula pada tahun lepas, kita dah naikkan untuk kadar penerima bantuan terutamanya bantuan bulanan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi MAIPk 2022-2026 di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Shahrul Azam berkata, jumlah kadar baharu itu akan dibincangkan bersama-sama Jawatankuasa Fatwa bagi mendapatkan persefahaman sebelum diputuskan.

Menurutnya, perubahan kadar tersebut bukan sahaja melibatkan bantuan sara hidup bulanan tetapi skim-skim bantuan lain seperti bantuan persekolahan dan modal perniagaan.

Sementara itu, beliau menjelaskan jumlah keseluruhan agihan zakat di Perak pada tahun lalu sebanyak RM141.7 juta manakala jumlah peruntukan agihan zakat pada tahun 2022 dianggarkan berjumlah RM158.9 juta.

Pada 28 Jun lalu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyarankan majlis agama Islam negeri-negeri agar menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Ia susulan tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.