Jutawan SM Faisal tuntut harta daripada bekas isteri

Jutawan SM Faisal tuntut harta daripada bekas isteri

 

Kebiasaannya isteri yang menuntut harta daripada suami apatah apabila suaminya adalah seorang jutawan.

Tetapi agak aneh kali ini apabila jutawan SM Faisal SM Nasimuddin pula memfailkan tuntutan harta sepencarian daripada bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Untuk rekod, Emilia mendakwa dirinya tidak berumah ketika ini setelah kunci rumah kelamin mereka terdahulu tidak diberi kepadanya.

Rumah yang terletak di Serene Kiara dibeli pada 2009 itu ditinggalkan tanpa berpenghuni sejak mereka bercerai tahun 2016 iaitu sudah enam tahun berlalu.

Emilia sebagai defendan hadir hari ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendengar sebutan kes yang difailkan bekas suaminya pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun sebutan tidak berlangsung berikutan penundaan tarikh oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ke tarikh 19 Julai ini.

Beliau diiringi dua peguam yang dilantiknya iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya.

Dua lagi peguam lantikannya iaitu Zulkifli Che Yong dan Dr Azmi Mohd Rais tidak hadir.

Nazri memberitahu, tuntutan harta oleh SM Faisal adalah membabitkan sebuah rumah kelamin yang diperolehi selepas perkahwinan mereka.

“Rumah berkenaan di Serene Kiara dinamakan bersama antara Emilia dan SM Faisal dibeli pada 2009. Pasangan itu bercerai pada 2016.

“Tuntutan ini dibenarkan dan ada kes lain seperti ini, mungkin pihak bekas suami hendak memastikan semua harta sepencarian tidak dituntut bekas isteri.

“Saya dimaklumkan anak guam saya tidak pernah buat tuntutan harta sepanjang tujuh tahun selepas bercerai.

“Satu tuntutan balas mengenai kes itu dikemukakan anak guam saya,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menjelaskan konsep harta sepencarian dalam Islam sangat luas dan adil.

“Definisinya membabitkan apa-apa harta yang datang selepas perkahwinan sama ada boleh alih atau harta tidak boleh alih.

“Harta boleh alih adalah membabitkan wang tunai atau saham manakala harta tidak boleh alih adalah rumah dan sebagainya.

“Biasanya pembahagian adalah secara adil walaupun ada nama atau tidak ada nama isteri, kerja atau tidak bekerja,” katanya, seperti dilaporkan Media Variasi.