#JusticeForBella: Rumah kebajikan disita, hilang hak jagaan
Berhubung kes seorang remaja Sindrom Down dipercayai didera, pusat kebajikan Rumah Bonda telah dilucutkan hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk mangsa yang dikenali sebagai Bella.
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata, semua kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah pusat kebajikan kendalian JKM.
“Pelindung Unit Kanak-Kanak sudah mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan kendalian wanita bujang berusia 28 tahun itu,” katanya.
Berdasarkan siasatan, hanya remaja yang berusia 13 tahun mempunyai kesan dera manakala lima kanak-kanak lain tiada sebarang tanda.
Che Samsuzuki berkata, wanita tersebut mendakwa bahawa Bella sukar mendengar kata dan degil ketika membuat pengakuan kepada JKM.
“Dia mendakwa Bella kerap mengacau adik yang lain dan kesan parut pada tangan kanak-kanak itu akibat tumpahan air panas..
“…selain Bella didakwa akan mengopek keruping luka dan menyebabkan ia sukar sembuh,” ujarnya.
Tambah beliau, Rumah Bonda milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu disita hari ini selepas menjalankan operasi secara haram sejak 2019 selain tidak berdaftar dengan JKM.
Selain itu, pihaknya juga akan menguruskan penempatan 19 wanita mengandung berusia 18 hingga 33 tahun yang menjadi penghuni di situ.
Sehingga kini, kisah Bella menjadi perhatian warganet selepas beberapa siri pendedahan yang luluh hati melihat keadaan fizikalnya sehingga mewujudkan tanda pagar #justiceforBella demi keadilan sewajarnya untuk remaja berkenaan.
Sumber: ohmymedia & Harian Metro