Jururawat didakwa dera bayi lapan bulan hingga mati

Jururawat didakwa dera bayi lapan bulan hingga mati

 

Jururawat sebuah hospital swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan membunuh bayi kandungnya yang berusia lapan bulan, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, T Rebekal, 30, memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Namun, tertuduh mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh J Melvin Jeshuran iaitu bayi lelaki berusia lapan bulan di rumah beralamat di No A13, Fasa 2A, Kampung Muhibbah, di sini, kira-kira 6 petang, 24 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary, manakala tertuduh diwakili peguam, Nahthan Krishnan.

Tiada jaminan ditawarkan.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan kemudian menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.