Jururawat baru bercerai ditahan polis, bayi lapan bulan maut disyaki didera

BELUM reda kisah tular seorang kanak-kanak berusia empat tahun didera, kali ini seorang lagi bayi meninggal dunia dipercayai didera dalam satu kejadian di Sungai Siput, Lumut, Perak pada Isnin.
Bayi lelaki berusia lapan bulan itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.
Menurut Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 7.10 pagi.
Ujarnya, bayi berkenaan dibawa ke hospital oleh ibunya selepas mendapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, terdapat banyak kesan kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan.
“Polis kemudiannya mengarahkan satu bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Hasil bedah siasat mendapati kecederaan dialami bayi itu adalah disebabkan objek tumpul,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan ibu bayi terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu didapati telah bercerai dengan suaminya sejak enam bulan lepas.
“Wanita itu tidak mempunyai anak lain dan tinggal berdua bersama bayinya selepas bercerai.
“Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan penglibatan individu lain dalam kes ini,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata, wanita itu telah direman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.