Jumlah pendaftaran vaksin masih rendah di Perak
Jumlah individu di negeri ini yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi aplikasi MySejahtera sangat rendah.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah individu yang berdaftar setakat ini ialah 406,380 orang tapi dari segi peratusannya sangat rendah iaitu 21.1 peratus daripada jumlah penduduk negeri.
Berdasarkan statistik, jumlah populasi Perak ialah seramai 2,611,600 dengan penduduk yang berusia lebih 18 tahun seramai 1,951,600 atau 74.7 peratus manakala sasaran populasi yang akan divaksin ialah antara 70 hingga 80 peratus orang.
Menurut Saarani, antara punca pendaftaran yang sangat rendah ialah sikap rakyat yang mahu tunggu, takut untuk menerima suntikan selain masalah capaian internet untuk mendaftar secara atas talian bagi penduduk di kawasan pedalaman khususnya Orang Asli.
Beliau berkata, untuk itu, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi berkaitan akan melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan jumlah pendaftaran termasuk menggiatkan lagi kempen kesedaran agar rakyat membuat pendaftaran.
“Kita akan memperhebatkan lagi kempen dan promosi pendaftaran ini dengan menggunakan beberapa cara antaranya seperti kaedah yang digunakan untuk pendaftaran mengundi dan sebagaimana pendaftaran untuk bayaran zakat.
“Kita akan melatih lebih ramai sukarelawan untuk menjayakan kempen pendaftaran ini di tempat-tempat tumpuan ramai seperti di pusat beli belah, pasar malam dan pusat khidmat ADUN.
“Malah pendaftaran juga boleh dibuat di tepi padang bola, asalkan di tempat ada orang berkumpul,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin dos kedua di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Menurut Saarani, untuk mengatasi masalah pendaftaran dalam kalangan Orang Asli yang tiada kemudahan internet, kerajaan telah membincangkan perkara itu dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Jakoa akan membantu Kementerian Kesihatan untuk membuat pendaftaran dalam kalangan Orang Asli secara manual,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memperhebatkan promosi pendaftaran supaya lebih ramai rakyat menerima suntikan vaksin.
“Lagi lambat mereka daftar, lagi lambat pula kita nak memberikan vaksin, jadi tempohnya akan mengambil masa yang panjang. Kita nak selesaikan pemberian vaksin ini kepada semua rakyat dalam tempoh seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Jadi saya saya merayu kepada rakyat bantulah kerajaan kerana kita nak basmi Covid-19 secepat mungkin. Lagi cepat kita basmi, lagi cepat kita dapat memulihkan ekonomi kita dan dapat hidup kembali seperti sedia kala,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, sehingga semalam, seramai 45,734 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama PICK.
“Jumlah tersebut menjadikan pelaksanaan fasa pertama program tersebut di Perak yang dijangka selesai pada 31 Mac ini sudah mencapai kira-kira 97.5 peratus,” katanya. – Utusan