Juara Gegar Vaganza 7 mengaku bersalah miliki heroin, berdepan hukuman penjara sehingga 5 tahun

Juara Gegar Vaganza 7 mengaku bersalah miliki heroin, berdepan hukuman penjara sehingga 5 tahun

 

Juara Gegar Vaganza musim ke-7, penyanyi rock tanah air, Cliff Umar mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret pada Ahad.

Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana.

Menurut BH Online, Cliff didakwa memiliki heroin seberat 0.39 gram. Dia melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya pada 26 Mei lalu kira kira 3.30 petang.

Cliff Umar melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, ayah kepada 4 orang anak itu boleh dipenjara 5 tahun atau denda tidak melebih RM100,000 – atau kedua duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran kemudian meminta tarikh baharu untuk sebutan laporan kimia. Dan Athirah mencadangkan jaminan RM6,000 untuk Cliff Umar sementara menunggu sebutan laporan tersebut.

Peguam yang mewakili Cliff Umar iaitu Sallehuddin Salam merayu agar jumlah itu dikurangkan lagi memandangkan tertuduh masih menanggung isteri dan empat orang anak yang masih bersekolah.

Seterusnya, peguam tersebut turut menyatakan bahawa anak guamannya tidak ada pendapatan yang stabil sebagai seorang ahli muzik.

Mahkamah kemudian membenarkan Cliff diikat jamin sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin. Sebagai tambahan, tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai.

Cliff Umar sebelum ini menyertai pertandingan Gegar Vaganza yang membantu menaikkan semula namanya di pentas seni tanah air.