Jual rumah banglo didiami keluarga, ini penjelasan Shila Amzah – “Saya dan Ubai nak mendidik..”
Penyanyi Shila Amzah menjelaskan punca dirinya menjual banglo dua tingkat miliknya yang menjadi perbalahan keluarga sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, Shila atau nama sebenar Nur Shahila Amir Hamzah, 34, dan suami, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli mengambil keputusan itu sebagai perancangan kewangan untuk hari tua bersama anak-anak.
“Saya percaya, pada zaman sekarang, rumah bukanlah lagi satu aset sebaliknya liabiliti.
“Kami juga mahu menjalani hidup yang sederhana dan memiliki financial freedom dan tak nak pening kepala,” ujarnya.
Tambah Shila, dia dan Ubai akui lebih selesa tinggal di kediaman yang lebih kecil ketika ini selain mahu menjalani kehidupan seperti orang biasa.
“Rumah besar (banglo) nampak seperti benda yang berlebihan. Duduk di rumah teres yang lebih kecil ini dengan seorang pembantu pun sudah cukup.
“Saya dan Ubai juga mahu mendidik diri kami jika Tuhan kurniakan kami rezeki yang lebih, Insya-Allah, kami tak nak cuba naikkan taraf lagi dan mahu relaks seperti orang biasa.
“Macam dulu baju ketika jadi artis pun berlambak dan sekarang bila dah ada stylist, baju saya tak simpan sendiri dan saya boleh hidup macam minimalis sekarang,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang banglo dua tingkat miliknya itu, ia masih dalam proses untuk dijual.
“Sudah ada beberapa pembeli yang berminat untuk membeli banglo berkenaan tetapi kami masih belum putuskan lagi.
“Saya sudah sampai satu tahap tak kisah berapa harga yang dapat sebab nak move on dan hidup yang tenang,” jelasnya.
Terdahulu, rumah banglo dua tingkat yang memiliki 12 bilik tidur di Hulu Langat, Selangor ini pernah mencetuskan perbalahan antara Shila dan keluarganya malah menjadi bualan hangat netizen di media sosial.