Jokowi puji tentera, polis Indonesia bebaskan tebusan juruterbang New Zealand

Jokowi puji tentera, polis Indonesia bebaskan tebusan juruterbang New Zealand

 

Presiden Indonesia Joko Widodo memuji kejayaan pasukan tentera dan polis yang berusaha membebaskan juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens daripada menjadi tebusan kumpulan bersenjata Papua pada Sabtu.

Joko Widodo atau Jokowi turut menyifatkan proses pembebasan ini sebagai satu proses yang panjang.

“Proses rundingan adalah panjang, dan kami bersabar untuk menahan diri daripada tindakan menindas kerana kami mengutamakan keselamatan juruterbang itu yang menjadi tebusan.

“Ia adalah satu proses yang panjang oleh tentera dan polis, yang saya fikir telah dilakukan dengan sangat baik,” katanya.

Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan, Mehrtens dibebaskan dari kawasan Nduga seterusnya dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan psikologi di daerah Timika.

Mehrtens diterbangkan ke Jakarta pada Sabtu malam untuk bertemu keluarganya dan diserahkan kepada kedutaan New Zealand.

Ketua Operasi Damai Cartenz, Brigadier Jeneral Faizal Ramadhani mengesahkan bahawa kerajaan Indonesia melaksanakan pendekatan secara rundingan, mengutamakan dialog berbanding tindakan bersenjata.

Pasukan petugas turut berunding dengan pemimpin agama, wakil gereja, tokoh tempatan serta ahli keluarga ketua pemisah, Egianus Kogoya.

Warga New Zealand itu diculik pada 7 Februari tahun lalu ketika membuat penerbangan pemindahan pekerja dari wilayah bergolak itu.