“Kematian Jojo One Nation Emcees dicemburui” – Pendakwah

“Kematian Jojo One Nation Emcees dicemburui” – Pendakwah
Bekas anggota kumpulan rap, One Nation Emcees (ONE) iaitu Jojo, 48, meninggal dunia di Masjid Jamek Sri Petaling, kira-kira jam 1 petang hari ini ketika mengikuti program Ijtimak Dakwah bermula Khamis lalu hingga hari ini.
Pendakwah, Maulana Helmi, 47, ketika dihubungi berkata, Allahyarham Jojo atau nama sebenarnya, Nur Hasan Balas tiba-tiba rebah selepas pembacaan doa penutup program itu.
“Buat masa ini, punca sebenar kematian arwah masih belum diketahui selagi tidak dikeluarkan oleh pihak hospital. Cuma, arwah ada mengadu dia sakit dada, pagi tadi.
“Ketika datang ke program hari ini, dia memakai pelitup muka dan apabila ditanya oleh sahabat-sahabat, katanya mohon doa kerana sakit dada dan sesak nafas.
“Baru hari ini, dia kelihatan kurang sihat dan hari-hari sebelumnya, okay saja. Dia seorang yang ceria, ramah berbual dengan sahabat-sahabat lain dan selama program ini, keadaannya nampak sihat-sihat saja,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Maulana Helmi, Jojo juga sebelum ini sempat keluar berdakwah selama 40 hari sebelum mengikuti program Ijtimak Dakwah di masjid berkenaan.
“Hari ini adalah hari penutup program, jadi memang Jojo ‘pergi’ dalam keadaan tempat baik, bulan yang terbaik dan di dalam majlis ilmu lagi. Memang kematian yang dicemburui,” katanya.
Maulana Helmi berkata, Allahyarham adalah bilal di Masjid Hanafi di Taiping, Perak.
“Kalau tak ada program agama disertainya di mana-mana, dia adalah seorang bilal masjid,” katanya.
Katanya, dia mengenali Jojo kira-kira enam atau tujuh tahun lalu selepas berhijrah mengikuti kumpulan tabligh untuk berdakwah.
Allahyarham yang berasal dari Sabah itu sudah berkahwin dan berkeluarga serta kini menetap di Taiping.