Bantu rakyat cari pasangan hidup, Terengganu bangunkan aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’

Bantu rakyat cari pasangan hidup, Terengganu bangunkan aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’

 

Bantu rakyat cari pasangan hidup, Terengganu bangunkan aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’.

Rakyat di negeri Terengganu tidak lagi berdepan kesukaran mencari pasangan hidup apabila Program Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ kini sedang dibangunkan untuk memudahkan urusan mereka.

Menurut kenyataan di laman facebook Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), perkembangan terkini aplikasi tersebut kini telah mencapai tahap 97-98% siap.

“Aplikasi Jodoh Darul Iman dibangunkan oleh Top IT Industries Sdn. Bhd. dan direka khusus untuk memudahkan rakyat Terengganu dalam mencari jodoh secara percuma.

“Pelbagai penambahbaikan telah dibincangkan bagi memastikan aplikasi ini berfungsi dengan lebih baik dan memenuhi keperluan pengguna,” kata kenyataan rasmi YPKT.

 

YPKT berharap dengan pelaksanaan aplikasi ini dapat membantu masyarakat Terengganu dalam membina hubungan yang lebih baik dan mengukuhkan institusi keluarga di negeri tersebut.

Terdapat pelbagai aplikasi mencari jodoh yang telah tersedia di Malaysia ketika ini namun kadang-kadang tidak mendapat sambutan kerana kadar padanan yang rendah ataupun mempunyai ‘scammer’ yang banyak.

Walaupun aplikasi-aplikasi ini mungkin popular tetapi para pengguna perlu membuat bayaran pendaftaran keahlian berbanding aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ yang membantu rakyat secara percuma.

Faktor yang membezakan antara semua aplikasi cari jodoh ini ialah ciri-ciri unik yang direka khas untuk memudahkan para pengguna.

Pengguna kebiasaannya mencari jodoh berdasarkan latar belakang budaya, agama, tradisi, pendidikan serta minat mereka supaya sepadan dengan ciri-ciri pasangan hidup yang dimahukan.