JMM Perak buat 4 laporan polis
Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak membuat empat laporan polis mendesak tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan kartel penyeludupan daging sejuk beku.
Presiden JMM, Hamdan Mohd Salleh berkata, laporan itu dibuat secara serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Kuala Kangsar, Kampar dan Muallim pada Sabtu.
Menurutnya, laporan itu antara lain menyarankan agar pegawai dan kakitangan kerajaan yang bertugas di pintu masuk utama kontena ke negara ini iaitu di Pelabuhan Klang ditukarkan serta-merta.
“Perkara ini harus dilakukan segera dan JMM juga akan terus mendesak agar kertas siasatan terhadap perkara ini dibuka segera,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Terdahulu, Sinar Harian mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.
Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/116422/EDISI/Perak/JMM-Perak-buat-empat-laporan-polis