Jika ramai bersifat mulia seperti para sahabat Rasulullah tentu tiada kemiskinan berlaku di dunia – Zahid Hamidi

Jika ramai bersifat mulia seperti para sahabat Rasulullah tentu tiada kemiskinan berlaku di dunia – Zahid Hamidi

 

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui dalam setiap perjuangan pasti ada onak dan duri sama ada kecil mahupun besar yang perlu ditempuhi seorang pemimpin.

Namun, katanya, beliau percaya Allah SWT tidak menguji hambanya melebihi kemampuan individu itu sendiri, selain menasihati mereka yang sedang diuji supaya bersabar.

“Berkesempatan bertemu pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew di hotel penginapan kami di Kota Kinabalu.

“Ustaz Ebit Lew insan yang sering membantu masyarakat memerlukan di dalam mahupun di luar negara.

“Banyak perkara disentuh kami dalam sesi pertemuan yang ringkas, namun cukup bermakna hari ini (semalam),” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, setiap individu akan menempuhi ujian daripada Allah SWT termasuk kumpulan yang setiasa melakukan amal kebajikan dan dakwah.

“Bersabarlah setiap yang menempuhinya kerana Allah tidak menguji hambanya melebihi kemampuan kita sendiri.

“Kesungguhan, keikhlasan dan kejujuran Ustaz Ebit Lew membantu masyarakat seharusnya menjadi teladan kita semua,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, jika ramai bersifat mulia seperti para sahabat Rasulullah sudah tentu tiada kemiskinan dan kemelaratan berlaku di dunia.

“Teringat kisah Sahabat Saidina Uthman bin Affan yang pernah menyumbangkan 300 ekor unta lengkap dengan muatan demi memenuhi tuntutan perjuangan Rasulullah SAW.

“Sebagaimana Firman Allah: ‘Adakah manusia menyangka mereka mengucapkan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji?’

“Kita mendoakan perjuangan Ustaz Ebit Lew dalam urusan kebajikan berterusan dan dirahmati Allah SWT. InsyaAllah,” katanya.