‘Jika Muhyiddin letak jawatan, Ismail Sabri boleh jadi PM dalam tempoh singkat, iaitu seminggu’, kata veteran Umno

‘Jika Muhyiddin letak jawatan, Ismail Sabri boleh jadi PM dalam tempoh singkat, iaitu seminggu’, kata veteran Umno

Keputusan Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Presiden Bersatu itu bersedia menerima Umno mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika beliau perlu berundur dalam masa terdekat, kata bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak, Zaharin Yasin.

Bagaimanapun, beliau berpendapat “saat itu” akan menyaksikan beberapa rakan gabungan kerajaan PN, antaranya PAS, berasa tersinggung dan mempersoalkan tindakan Muhyiddin membelakangkan parti itu sebagai sekutu utama ketika ini.

“Apabila Muhyiddin melantik Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau sudah terima Naib Presiden Umno itu sebagai penggantinya.

“Soal layak atau tidak, pada dasarnya, Ismail sudah dilayakkan oleh Muhyiddin, jika Muhyiddin mahu kerajaan PN terus dapat sokongan Umno,” katanya dalam sesi sembang di laman Twitter bertajuk “Rakyat Gagal? Kerajaan Berjaya?” malam tadi.

Dalam sesi selama tiga jam bermula 9 malam itu, Zaharin berkata, tekanan dari dalam Bersatu dan rakan sekutunya, PAS membuatkan kerajaan PN yang dikemudi Umno pada masa depan akan goyah, kecuali ada usaha lain dibuat untuk mengekalkan Ismail sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Saya percaya jika Muhyiddin letak jawatan, Ismail Sabri boleh jadi perdana menteri dalam tempoh singkat, iaitu seminggu atau paling lama sehingga Parlimen bersidang.

“Sudah tentu orang Bersatu akan tarik diri atau PAS juga akan berundur dari gabungan itu kerana mereka berasa ada ‘bargaining power’ dan hak untuk menjawat jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

Justeru, landskap politik negara pada masa itu akan menyaksikan “aksi” lebih menarik dengan Azmin Ali dilantik sebagai timbalan perdana menteri sebagai usaha menurut percaturan dan kehendak Muhyiddin.

“Jadi pandai-pandailah Ismail Sabri kalau jadi PM untuk seimbangkan undi (sokongan) walaupun kita tahu Azmin tidak popular dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan, bukan timbalan perdana menteri seperti yang diramal banyak pihak, Zaharin berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mempunyai hierarki dalam Umno, malah secara peribadi, beliau tidak disenangi oleh rakan separti.

“Jadi soalnya sekarang, bagaimana kita nak nampak seorang (bakal) perdana menteri, jika dalam partinya sendiri pun beliau tak hormati institusi presiden, walaupun presiden itu adalah Pengerusi Barisan Nasional,” katanya.

Zaharin turut mendakwa Hishammuddin tidak popular dalam Umno kerana dianggap sebagai duri dalam daging.

Malah, katanya, Hishammuddin turut dianggap sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab kerana enggan bertanding dalam pemilihan Umno 2018 berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kononnya, beliau tak mahu bertanggungjawab atas kekalahan memalukan itu,” katanya.

Dakwanya lagi, ramai ahli Umno tahu gerakan Hishammuddin membawa pemimpin parti menyertai Bersatu, sekalipun beliau sendiri masih kekal dalam Umno.

“Ini saya dengar sendiri daripada mereka yang ditawar sertai Bersatu tetapi tidak mahu mengikut kehendaknya,” kata Zaharin.

Pada 7 Julai, Muhyiddin melantik Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, tambahan kepada portfolio Menteri Pertahanan yang masih dipegangnya.

Hishammuddin pula dilantik sebagai Menteri Kanan, mengetuai kluster keselamatan yang sebelum ini disandang Ismail.

Pelantikan itu diumumkan kurang beberapa jam sebelum mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi Umno yang membuat keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Sumber: FMT