“Jika dia mengaku dia Wazani, maka dia penipu” – Isu Mawla Amin, ini respon Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi

“Jika dia mengaku dia Wazani, maka dia penipu” – Isu Mawla Amin, ini respon Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi

 

Mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Itu dakwaan seorang lelaki warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani dan yang pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajarnya seperti didedahkan Metro Ahad.

Skuad Khas Harian Metro menerima surat maklum balas daripada Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean yang menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain.

Menerusi surat keterangan itu, Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Pihak berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

Pada masa sama, pihak Kementerian Luar Maghribi juga menyatakan bahawa individu ini mendakwa sebagai rakyat negara itu sedangkan lelaki itu adalah warga Perancis-Algeria dan mengambil kesempatan terhadap reputasi ulama Maghribi.

Untuk rekod, Mohamed Amin Ouradj memegang warganegara Perancis-Algeria dan dilahirkan di Algiers pada 1984 sebelum berpindah ke Perancis mengikut keluarganya.

Pada 2022, Mawla Amin datang ke negara ini hasil anjuran madrasah terbabit namun mendapat beberapa tentangan daripada mufti negeri kerana dokumen ‘keturunan’ yang meragukan.

Antara negeri yang membatalkan jelajah Mawla Amin adalah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

‘Dia bukan dari keturunan Wazani’

“Dia (Mohamed Amin Ouradj yang juga dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani) bukan daripada keluarga kami (Keluarga Wazani, Ahlul Bait), saya tidak kenal dia, saya bukan pakcik dia.”

Demikian respons Ketua Zawiyah al-Wazaniyah di Maghribi, Sharif Wazani Tayeb berhubung pengakuan seorang individu dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang kononnya keturunan ke-38 Rasulullah SAW.

Beliau berkata, individu berkenaan ada hadir di Zawiyah Wazani sama seperti orang lain untuk mengambil gambar dan gambar itu dipercayai digunakan kononnya beliau adalah keturunan Wazani.

Untuk rekod, Wazani adalah nama keluarga ‘ahlul bait’ yang diasaskan oleh Muleh Abdullah Syarif.

Sharif Wazani Tayeb adalah keturunan Hassan bin Ali yang ke-34 dan Zawiyah Wazaniyah ialah badan bertanggungjawab untuk menjaga nasab keturunan Nabi Muhammad SAW di Maghribi.

Beliau berkata, lelaki itu mengaku berketurunan Wazani sedangkan dan jelas ia satu penipuan.

“Lelaki ini (Mohamed Amin) bukan daripada keluarga saya, dia bukan daripada keluarga Wazani, jika dia mengaku dia Wazani, maka dia penipu,” katanya.

Polis pantau Mawla, pengikut

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Ia susulan laporan akhbar ini mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Malwa Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, mereka juga sudah membeli sebidang tanah yang agak besar iaitu 11 hektar sedangkan pengikutnya bukan dari kalangan orang yang berada namun bergantung dengan kutipan daripada dana awam.

“Kita ada maklumat itu dan buat masa ini kita masih memantau pergerakan Mawla Amin terbabit bersama pengikutnya.

“Madrasah terbabit juga apa yang diketahui membeli tanah di Melaka hasil kutipan dana daripada pengikutnya dan orang ramai bagi membina perkampungan terbabit,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Razarudin berkata, PDRM juga akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri mengenai kegiatan dijalankan mereka.

“Sebelum ini juga lelaki terbabit pernah datang ke negara ini dan menghadiri beberapa program di beberapa negeri,” katanya.

Madrasah terbabit juga terpalit dengan salah laku membabitkan mudirnya yang memukul pelajarnya seperti didedahkan Metro Ahad.

Malah, menerusi laporan eksklusif muka depan akhbar ini semalam mendedahkan mudir berkenaan turut membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk membina perkampungan Kerajaan 9 yang dikatakan akan menjadi persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Tanah milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka dibeli baru-baru ini dan dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.