“Jika dapat DM dari dia, mohon abaikan” – Taktik licik lelaki menyamar ‘orang susah’ minta duit terbongkar

“Jika dapat DM dari dia, mohon abaikan” – Taktik licik lelaki menyamar ‘orang susah’ minta duit terbongkar

Taktik licik seorang individu menipu pengguna laman Twitter dengan menyamar sebagai orang susah akhirnya terbongkar apabila beberapa tangkap layar dikongsi pengguna laman sosial itu semalam.

Salah satu tangkap layar itu dimuat naik pengguna Twitter dikenali sebagai @zoulyazix yang menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan taktik licik ‘penipu’ terbabit yang dikenali sebagai Jimmy Azurri.

“Jika anda semua ada dapat direct message (DM) dari dia, mohon abaikan. Dah ramai dia DM minta duit mengaku orang susah, tetapi bila disiasat, keluarga dia tidak susah pun malahan dia sendiri tidak peduli.

“Bukan saya sahaja hampir terkena. Ramai pengguna yang lain sudah pun beri banyak bantuan kewangan dan apabila dapat tahu, ternyata itu adalah taktik dia untuk ‘scam’ dan dapat duit semudah itu,”ciapnya di laman Twitter.

Tangkap layar yang tular di Twitter mengenai penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai orang susah.

Pada masa sama, dia memaklumkan telah menghantar pesanan ringkas kepada semua kenalan dan meminta orang ramai untuk hentikan beri bantuan kewangan kepada dia.

“Lelaki itu sudah menipu orang bertahun-tahun dan bila ada orang cuba selesaikan masalahnya, yang jadi mangsa adalah keluarga dan orang terdekat,” ciapnya.

Rata-rata pengguna laman Twitter berkongsi pengalaman mereka yang pernah ditipu oleh orang yang sama yang menggunakan taktik meminta bantuan kewangan melalui DM dan menunjukkan tangkap layar baki akaun banknya.

Menurut seorang pengguna yang bernama @Ijat_TuitTuit, lelaki itu pernah DMnya pada bulan Mac yang lalu dan dia tidak layan kerana berasa curiga dengannya.

“Saya pernah terima DM dari lelaki yang sama Mac lalu. Dia nampak mencurigakan dan terus saya tidak layan. Cara dia meminta-minta itu, dari rasa nak bagi terus tidak jadi,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman sama, seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Aliyameha.

“Dia lelaki dan sihat tubuh badan. Gigih sungguh minta duit orang.

“Sudahlah lelaki dan sihat tubuh badan, tetapi masih mahu minta duit orang. Saya ni pun tidak bekerja, tapi saya gigih menggesek sambal untuk dijual secara online untuk sara kehidupan saya. Saya pun tertekan dengan keadaan sekarang tetapi saya tidak berhenti berusaha,” jelasnya.

Sumber: Kosmo