Jenazah pelumba drag, Apeh Jamal selamat dikebumikan

Jenazah pelumba drag, Apeh Jamal selamat dikebumikan

 

Jenazah pelumba drag, Allahyarham Apeh Jamal yang meninggal dunia sewaktu menyertai perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu selamat dikebumikan pagi ini.

Lebih 200 terdiri daripada sanak-saudara dan rakan taulan membanjiri kawasan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, di sini, sebelum upacara pengebumian dilaksana.

Suasana bertambah hiba apabila kelihatan van yang membawa jenazah diiringi kira-kira 100 kenalan arwah memasuki kawasan perkuburan jam 9.30 pagi sebelum pengebumian selesai jam 10.10 pagi ini.

Bapa Apeh serta isteri kepada Allahyarham, Norhasyimah, 37, bagaimanapun tidak sedia untuk ditemubual oleh pemberita berikutan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Apeh dilapor dibawa dari Terengganu malam tadi sebelum disembahyangkan kira-kira 9 pagi di Masjid Al-Muttaqin, Meru Raya, di sini.

Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, dilapor meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya dipercayai mengalami masalah teknikal menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas jam 11.35 pagi semalam.

Turut tular video memaparkan detik ketika nahas berlaku apabila kenderaan dipandu Apeh hilang kawalan dan terbabas sebelum terkeluar dari trek perlumbaan beberapa saat selepas dilepaskan daripada garisan mula.

Allahyarham anak ketiga daripada lima beradik meninggalkan isteri dan empat anak berusia antara 18 hingga setahun termasuk anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri pertama.

Difahamkan, insiden itu menyebabkan pihak penganjur membuat keputusan menangguhkan perlumbaan berkenaan yang sepatutnya dijadualkan berakhir hari ini.