Jemaah Pemangku Raja laksana tugas Sultan Perak

Jemaah Pemangku Raja laksana tugas Sultan Perak

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak sepanjang tempoh baginda menjalankan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa, hari ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim, dalam satu kenyataan hari ini, berkata jemaah itu dipengerusikan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Beliau berkata, dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah itu iaitu Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri (Dr) Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja, Datuk Seri Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga bekas Menteri Besar Perak.

“Pembentukan jemaah itu selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV, iaitu dalam tempoh masa menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam, media melaporkan Sultan Nazrin selaku Timbalan Yang Di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom (UK).

Lawatan Khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke UK itu bermula semalam hingga 27 September dan kemudiannya, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula 27 September sebelum dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sumber: Berita Harian