Jejantas ‘skybridge’ RM31.5 juta di Sabah jadi bahan ketawa warganet

Jejantas ‘skybridge’ RM31.5 juta di Sabah jadi bahan ketawa warganet

 

Skybridge bernilai RM31.5 juta yang merangkumi laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 400 meter menghubungkan beberapa pusat beli belah di tengah bandar raya di sini akhirnya siap, dan akan dibuka kepada umum pada Khamis ini selepas dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

Hajiji berkata jejantas yang menghubungkan pusat beli belah Oceanus, Api-Api Centre, dan Asia City itu akan memberi banyak manfaat kepada orang ramai, terutama dari segi keselesaan dan juga keselamatan bagi pejalan kaki yang hendak melintas jalan di kawasan itu.

“Penyiapan projek itu menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah adalah kerajaan yang proaktif dan prihatin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skybridge berkenaan hari ini.

Projek jejantas itu telah terbengkalai di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini selepas kerja-kerja pembinaannya dihentikan apabila pemajunya diisytihar muflis, lapor Bernama.

Rata-rata netizen sebenarnya sangat terkejut dengan kos pembinaan Skybridge tersebut yang mencecah RM31.5 juta. Lebih-lebih lagi apabila salah satu laluannya untuk ke Centre Point Sabah ‘tidak wujud’ dan pengguna akan bertemu jalan mati apabila melaluinya.

Laluan terbabit dibiarkan sahaja ‘tergantung’ tanpa sambungan. Ramai berpendapat laluan berkenaan akan jadi sia-sia jika tiada akses ke pusat membeli belah berkenaan.

Namun, pada awal pembinaan jejantas ini Centre Point Sabah tidak termasuk dalam salah satu laluan Skybridge ini dan mungkin ditambah ketika dalam proses pembinaan.

Tidak dapat dipastikan bila laluan untuk ke Centre Point Sabah ini akan dibuka kepada umum atau dibiarkan sahaja tergantung begini buat sementara waktu. Ada yang mendakwa pemilik Centre Point Sabah sendiri menolak ketika kontraktor mahu membina laluan masuk ke mall tersebut.

Namun yang lebih penting, jejantas yang terbengkalai sejak sekian lama ini kini siap untuk kegunaan orang ramai. Pelancong yang bercuti di Kota Kinabalu di masa akan datang juga akan mendapat manfaatnya.

Sumber: Vocket