JAS Perak siasat pembakaran sisa klinikal

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menyiasat kebakaran di Persiaran Perindustrian Pengkalan 37/22, Kawasan Perindustrian Pengkalan 1, Lahat, di sini, Ahad lalu membabitkan sisa klinikal yang dibuang tanpa pengawasan dan kebenaran.
Pengarahnya, Rosli Zul, berkata siasatan segera dimulakan dengan merujuk kepada pihak yang diberikan konsesi bahan klinikal itu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta beroperasi di Perak.
“Kita tahu alat buangan klinikal terbabit dikeluarkan syarikat konsesi yang dilantik KKM, namun ianya dibuang di tempat yang tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun perkara ini masih dalam siasatan JAS,” katanya pada sidang media Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di sebuah hotel di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 300 pemain industry .
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.
Terdahulu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu jam 10.06 malam Ahad lalu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih diarahkan bagi operasi pemadaman.
Katanya, kebakaran membabitkan sisa klinikal yang dibuang tanpa pengawasan, yang mana ia memerlukan bantuan pemantauan dari JAS bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata, 445 aduan diterima JAS Perak sepanjang tahun 2020 dengan aduan paling banyak membabitkan pencemaran udara yang terhasil dari pembakaran terbuka, disusuli dengan pencemaran air akibat bahan buangan dan pelupusan buangan.
Menyentuh mengenai perkembangan usaha pembaikan Air Terjun Tanjung Batu dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang dekat Pantai Remis yang dikatakan musnah akibat aktiviti kuari, beliau berkata usaha membaik pulih sudah berada pada 70 peratus.
Katanya, usaha baik pulih yang sedang berlangsung membabitkan langkah mitigasi kawalan, manakala 30 peratus selebihnya akan membabitkan usaha akhir mencantikkan (touch-up) semula kawasan terbabit.
“JAS dipertanggungjawabkan melakukan pemantauan di lokasi itu pada setiap dua minggu. Kerja pembaikan masih diteruskan memandangkan untuk membaik pulihnya, ia tidak dapat dilakukan sebegitu cepat sebagaimana jika hendak dimusnahkan,” katanya.
Sementara itu, Rosli berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 117 tindakan mahkamah diambil pihaknya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta 31 kes membabitkan penahanan kelengkapan.
“Tindakan lain yang diambil antaranya adalah gantung lesen (5), kompaun (3,604), notis arahan (827), dan arahan di lapangan (1,034),” katanya. – BH