JAS Perak bakal ambil tindakan terhadap sebuah kilang proses sisa kelapa sawit
Sebuah kilang memproses sisa kelapa sawit di Kampung Selabak di sini dijangka akan dikenakan tindakan tidak lama lagi kerana didapati membuang bahan buangan ke dalam sungai tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Rosli Zul berkata susulan aduan penduduk sekitar kampung berkenaan berhubung pencemaran sungai sebelum ini, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati sistem pengurusan bahan buangan kilang itu perlu dinaik taraf.
“Kita mendapati bahan buangannya memang dirawat sebelum melalui proses pembuangan, namun ia didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu seorang penduduk kampung itu, Ahmad Fuad Shahrudin, 51, mendakwa penduduk kampung telah mengemukakan masalah berkaitan pembuangan bahan buangan kepada JAS Perak beberapa kali sejak Mac tahun lepas, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini, sehingga menjejaskan pendapatan penduduk terutama nelayan.
“Kilang ini membuang bahan buangan sisa kelapa sawit ke dalam longkang yang mengalir terus ke sungai dan ada nelayan mendakwa hasil tangkapan ikan dan udang galah berkurangan kerana beberapa spesies ikan mati, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
“Selain itu, penduduk di sekitar Kampung Selabak juga sering kali menghidu bau busuk yang datang dari arah kilang itu setiap hari selain kami turut mengalami gatal-gatal di badan,” katanya.