‘Jangan lukakan hati golongan antivaksin’, Ustaz Husam bidas KJ

‘Jangan lukakan hati golongan antivaksin’, Ustaz Husam bidas KJ

 

SEORANG pemimpin hendaklah perlu profesional ketika berhadapan dengan rakyat.

Malah, pendakwah bebas Ustaz Ahmad Husam Baderudin berpendapat seorang pemimpin itu perlu mengelak melakukan tindakan yang boleh melukakan hati rakyat.

“Jangan melukakan hati rakyat. Saya rasa banyak lagi pendekatan yang boleh diambil dalam kita berhadapan dengan golongan antivaksin ini,” katanya di Facebook, hari ini, menurut laporan Malaysiapost.

Justeru, Ahmad Husam menegur tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu terus menyusahkan golongan antivaksin dalam usaha membuka hati golongan itu untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Saya telah membaca berulang kali  kenyataan daripada YB Menteri Kesihatan Ini. Secara peribadi kurang bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh YB Menteri Kesihatan kali ini.

“Ya kita tidak menafikan kenyataan serta tindakan golongan yang digelarkan sebagai antivaksin itu kadang-kadang agak sedikit keterlaluan atau terlajak,” katanya.

Ahmad Husam menambah, kenyataan seorang pemimpin yang hendak melakukan tindakan untuk menyusahkan rakyat adalah kenyataan yang agak ego.

“Seorang pemimpin yang diangkat adalah berperanan untuk memudahkan serta menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat,” katanya.

Terdahulu, selain bertekad untuk terus menyusahkan golongan antivaksin, Khairy menegaskan, walaupun vaksin tidak diwajibkan tetapi kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.