Jangan jawab bagi pihak syarikat balak, Anwar bidas timbalan menteri

Jangan jawab bagi pihak syarikat balak, Anwar bidas timbalan menteri

 

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membidas jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Hasbi Habibollah berkenaan kerosakan jalan yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

Menurut Anwar, pihak kerajaan tidak boleh memberi jawapan lepas tangan dan beliau berkata syarikat balak yang mengaut keuntungan berbilion ringgit sepatutnya dipertanggungjawabkan mengurus bekas jalan balak.

“Sebelum ia terbengkalai, pastikan pantau, jangan jawab bagi pihak syarikat balak.

“Bukan jawab kata dah lepas, itu bukan tanggungjawab dia kerana jalan yang bukan jalan balak syarikat berkenaan pun dirosakkan,” kata Anwar dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, memetik laporan FMT.

Tambahnya, Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) diselenggara oleh syarikat tidak bertanggungjawab menyebabkan ketirisan wang RM1 bilion tidak sampai ke pihak yang sepatutnya.

Hasbi bagaimanapun berkata, jalan bekas balak yang dimaksudkan beliau di dalam jawapan kepada persoalan Anyi Ngau (GPS-Baram), adalah jalan yang sudah terbengkalai.

Katanya, pihak kementerian cuba mengumpulkan jalan-jalan yang terbengkalai ini untuk didaftarkan bagi membolehkan peruntukan MARRIS diberikan.

Jelasnya, pihak syarikat balak setakat ini memberi kerjasama untuk memastikan jalan yang sedia dipakai dibaiki dan diselenggara dengan baik untuk kegunaan semasa.

“Jalan yang sedia dipakai oleh balak sekarang ini mereka memang baiki, kalau tak baiki dia sendiri pun tidak boleh jalan,” katanya.