“Jangan buat statement hanya untuk redakan suasana, tapi tak selesai masalah” – Pemilik Bezza respon kenyataan Perodua

“Jangan buat statement hanya untuk redakan suasana, tapi tak selesai masalah” – Pemilik Bezza respon kenyataan Perodua

“Perodua sudah jawab, tetapi masih tiada penyelesaian,” itulah maklum balas pemilik Perodua Bezza yang mengalami kerosakan selepas lapan jam kereta itu dibeli.

Maklum balas tersebut adalah respon Nagakanni Subramaniam terhadap kenyataan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berhubung masalah keretanya itu.

Memuat naik hantaran di laman Facebook, Nagakanni yang bekerja sebagai kerani itu tampil mempersoalkan kenyataan daripada syarikat pengeluar kereta tersebut.

Perodua dalam kenyataan itu memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalahnya dengan membeli semula kenderaan yang mengalami kerosakan daripada Nagakanni.

Walau bagaimanapun, wanita tersebut mendakwa bahawa syarikat itu tidak memberi jaminan dalam bentuk ‘hitam putih’ mengenai pembelian semula kenderaan miliknya.

Syarikat tersebut juga masih belum menjawab persoalan berhubung status pinjaman pertama dibuat oleh pelanggannya untuk membeli kenderaan yang telah rosak itu.

“Saya dimaklumkan Perodua sudah jawab, tetapi saya nak betulkan sedikit fakta. Penyelesaian Perodua adalah untuk saya membeli kereta kedua dengan membuat pinjaman baharu.

“Adakah jaminan secara hitam putih yang memastikan bahawa kereta pertama saya akan dibeli semula dan pinjaman pertama tidak perlu dibayar? Tiada. Sudah lebih dua bulan tetapi saya belum menerima sebarang maklumat terperinci.

“Ini termasuklah maklumat mengenai pembelian semula kereta, tempoh pembelian, pembayaran pinjaman dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran yang dikongsi pada Rabu (semalam).

Nagakanni turut menyifatkan bahawa isu yang dialaminya sebenarnya tidaklah rumit kerana syarikat itu hanya perlu menggantikan keretanya dengan kenderaan baharu.

Syarikat tersebut bagaimanapun hanya mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai ‘meredakan suasana’ tanpa menyelesaikan masalah dihadapi Nagakanni.

“Saya tidak mendapat gantian kereta baharu. Tetapi, saya masih perlu membayar ansuran kereta (rosak) itu setiap bulan. Kalau betul Perodua mahu membeli semula kereta saya, silakan.

“Tetapi mana hitam putih? Sehingga ke hari ini saya masih belum menerimanya. Jangan buat kenyataan media hanya untuk meredakan suasana tetapi sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.” Kesalnya.

Wanita berkenaan juga dengan tegas menafikan bahawa dirinya hanya ingin mencari gaduh sebaliknya mahu masalah dihadapinya itu dapat diselesaikan dengan segera.