“Jangan buat sistem robinhood” – Dakwa tak dapat bahagian diminta, wanita ugut tak halalkan daging korban

“Jangan buat sistem robinhood” – Dakwa tak dapat bahagian diminta, wanita ugut tak halalkan daging korban

 

Apabila seseorang menyertai ibadah korban, telah diperintahkan untuk berbuat dengan hati yang ikhlas kerana Allah S.W.T dan mengganggap ia sebagai satu sedekah kepada golongan yang layak.

Namun, tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang wanita yang menyertai ibadah korban di sebuah masjid terkenal di Sungai Petani meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu pembahagian daging korban yang dilakukan oleh masjid itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Ustaz Yaakub Yusra, seorang peserta ibadah korban membuat permintaan bahagian lembu tertentu walaupun telah dimaklumkan berkenaan pembahagian kepada mereka yang berhak sahaja.

Bahkan, dalam tangkap layar yang tular di media sosial, wanita itu didapati mengkritik cara kerja dan juga pembahagian daging-daging lembu korban yang dianggap tidak adil.

“Ni mak cik nak habaq mak cik nak kaki, nak perut, nak hati, nak paru. Kelmarin kata dalam resit tulis nak daging saja. Hari ini mak cik tulis semua.

“Kalau tak bagi 1 helai bulu pun mak cik tak halalkan. Bukan berkira tapi tegas pada golongan faham agama. Cakap lain buat lain,” tulisnya kepada kakitangan masjid itu.

Sebagai respons terhadap permintaan wanita itu, Ustaz Yaakub tampil memberi penjelasan mengenai isu itu, disamping menunjukkan bahagian-bahagian lembu yang dipulangkan kembali seperti telinga, kulit dan sebagainya.

Kata Ustaz Yaakub, setiap peserta perlulah maklum mengenai niat asal dalam mengerjakan ibadah korban.

“Dalam akad kita sudah maklum, 1/3 diberikan kepada penama manakala 2/3 diberikan kepada orang ramai. Ingat kami jual kat market ka?

“Maka tuan-tuan, kami minta team kami ganti balik, telinga lembu kami bagi balik kat dia, kami bukan nak buat untung..lepas ni dalam akad tengok bagi elok,” ulasnya lagi.

@yaakubyusra

Replying to @mohdazainiabdullah iyaa semua ikhlas datang membantu,nak harap kan team madad semua kami pon belajar-belajar lagi#murtadhadakwahcentre #korban #madad

♬ original sound – Ustaz Yaakub Yusra – Ustaz Yaakub Yusra

Perkongsian berhubung permintaan mak cik itu ternyata meraih perhatian netizen dan rata-ratanya membidas tindakan meminta pembahagian lebih daripada apa yang ditetapkan oleh syarak.

Dalam masa sama, orang ramai menyatakan ibadah korban yang dilakukan adalah bagi tujuan bersedekah namun ada sebahagian peserta menyalah anggap ia sebagai satu pass untuk mendapatkan daging yang lebih serta bersama bahagian-bahagian tertentu.