Jangan ambil mudah kelonggaran diumum kerajaan – Menteri Besar Perak

Jangan ambil mudah kelonggaran diumum kerajaan – Menteri Besar Perak

 

Kelonggaran tertentu yang diumumkan kerajaan bukan alasan untuk rakyat mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata rakyat perlu terus mematuhi SOP sedia ada.

“Seiring dengan semangat kemerdekaan yang begitu dirasai ketika ini marilah kita sama-sama menguatkan azam dan tekad untuk terus berjuang memerdekakan diri, keluarga dan masyarakat dari ancaman COVID-19.

“Bagi yang belum menerima suntikan vaksin, saya mohon supaya jangan berlengah dan segeralah mendapatkan vaksin sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menyediakan perkhidmatan secara walk-in.

“Jika ada kemusykilan hubungi mana-mana pejabat kesihatan untuk mendapatkan bantuan, mereka akan sedia membantu,” katanya dalam satu kenyataan Perutusan Hari Malaysia di sini hari ini.

Saarani berkata, pihaknya akan terus berikhtiar untuk mencari jalan agar impak pandemik ini kepada kehidupan rakyat dapat ditangani sebaik mungkin.

“Kita memahami, masih ada rakan-rakan di luar sana yang masih bergelut membina semula kehidupan.

“Kita dan rakan-rakan dalam kerajaan akan terus berikhtiar untuk mencari jalan agar impak pandemik ini kepada kehidupan rakyat dapat kita tangani sebaik mungkin. Ia tidak mudah, tetapi dengan kesatuan hati kita mampu mengharunginya bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata, ancaman pandemik COVID-19 benar-benar mengajar untuk selalu bersedia menghadapi keadaan atau situasi yang luar biasa.

“COVID-19 juga meniup rasa keinsafan bahawa sesukar mana ujian yang kita hadapi, ia akan mampu diharungi jika setiap lapisan rakyat tanpa mengira garisan kaum dan agama, terus berpegang erat kepada nilai-nilai perpaduan dan kebersamaan.

“Mudah-mudahan dengan keazaman dan kekuatan tekad kita semua, ujian Covid-19 ini dapat sama-sama kita tempuh dan akhirnya kita akan beroleh kemenangan, InsyaAllah,” katanya.

Sumber: Berita Harian