Jalan ke kampung Orang Asli Sungai Siput runtuh

Jalan ke kampung Orang Asli Sungai Siput runtuh

 

Kira-kira 200 penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Yum dekat Sungai Siput terputus hubungan selepas laluan utama ke kampung tersebut runtuh semalam, dipercayai akibat hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, ia melibatkan laluan sepanjang 60 meter dengan anggaran kedalaman cerun antara 10 hingga 15 meter di jalan utama Pos Beswok dekat Kampung Penyell.

“Berikutan itu, laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan dan jentera akan masuk ke lokasi kejadian hari ini untuk membina laluan sementara, bagi menghubungkan laluan yang terputus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, memetik laporan Utusan.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja menyiapkan laluan sementara itu akan mengambil masa kira-kira dua hari.

Jelasnya, bagi tindakan jangka panjang, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja membaiki cerun pada lokasi tersebut.

Katanya, kerja-kerja itu akan dijalankan berdasarkan kepada pemeriksaan forensik berhubung kegagalan cerun tersebut.