“Jalan hidup setiap orang berbeza” – Pelajar pintar 20A SPM tahun 2008, ini luahan hati Nik Nur Madihah

“Jalan hidup setiap orang berbeza” – Pelajar pintar 20A SPM tahun 2008, ini luahan hati Nik Nur Madihah

 

Sejak semalam coretan hati pelajar cemerlang SPM tahun 2008, Nik Nur Madihah menarik perhatian ramai.

Di saat ramai bertanya apa kisah kehidupan peribadinya selepas  mencipta rekod memperoleh 20A dalam SPM, tidak ramai mengetahuinya kerana memilih kehidupan low profile, kecuali mungkin pada rakan terdekat.

Di catatan muka bukunya, Nik Nur Madihah meluahkan perjalanan hidupnya. Apa dibuat selepas SPM, ke mana dirinya menyambung pelajaran ke luar negara sehinggalah kembali menyambung pengajian di UIA kerana ibu tercintanya jatuh sakit.

Kisah Terkini Nik Nur Madihah Jadi Tumpuan

Dan di Pesta Buku Antarabangsa baru ini, , anak sulung kepada pasangan Nik Mohamad Kamal Husin dan Mariyani Omar muncul di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Namun selepas membuat pendedahan kisah perjalanan hidupnya termasuk persoalan gagal menemukan jawapan dari bidang yang dirinya agungkan selama ini iaitu Sains dan Matematik terutama membantu dirinya menyelesaikan permasalahan hidup yang sepatutnya cukup sederhana, dia membuat pilihan menukar jurusan diminati iaitu aliran agama.

Dan selepas catatan ini menjadi viral, ia tiba-tiba muka bukunya ‘hilang‘ seketika dan tidak lagi ditemui.

Kisah Terkini Nik Nur Madihah Jadi Tumpuan, Coretan Pelajar Dapat 20A Di FB “Hilang” Selepas Viral

20 A: Sorotan Selepas 12 tahun (2008-2024)

“Pagi itu hening. 12 Mac 2009. Arwah umi bersiap untuk ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK), beliau sudah beberapa bulan bekerja sambilan sebagai tukang sapu. Bapa pula sejak dari semalam sudah bersiap di botnya mahu turun ke laut.

Tiada siapa tahu saya telah mengambil 20 subjek untuk peperiksaan SPM yang diduduki pada tahun sebelumnya, kecuali arwah umi.

Jadi umi berseloroh; “Kak long kalau dapat 20A je telefon ke umi okay, kalau tak, tunggu balik petang nanti.” Saya tergelak kecil.

Saya juga bersiap, menyarung baju kurung penuh debaran. Tiada tanda-tanda bahawa hari berkenaan akan jadi berbeza. Menghampiri pondok menunggu bas, bersendirian.

Saya sudah biasa mengambil keputusan peperiksaan sendiri, tidak pernah ditemani sesiapa.

Selaku anak sulung, saya telah dilatih bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap keputusan. Bapa dan arwah umi saya menyerahkan kepercayaan. Dan saya memikulnya dengan sepenuh perhatian.

Bas SKMK bernombor 9 tiba. Saya menaiki dan mencari kerusi kosong. Kelihatan anak-anak remaja lain dari kampung yang berdekatan, juga sedang berdebar memikirkan nasib yang menanti di hadapan.

Selepas hampir 30 minit berhenti mengambil dan menurunkan penumpang, bas akhirnya tiba ke destinasi tujuan – pusat bandar. Dari stesen bas, saya berjalan menuju ke sekolah yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu.

Setibanya di pekarangan sekolah, rakan-rakan satu batch sudah memenuhi padang dan berkeliaran di sekeliling medan perhimpunan. Entah ke mana saya harus tujui?

Sambil saya melangkah ke arah bangunan guru dan pentadbir, saya disapa seorang rakan; “Nik, Papa Li cari awak”.

Rasa gementar terus menguasai diri. Apakah yang sedang menunggu saya? Adakah khabar yang dibawa nanti baik atau bukan? Bagaimana jika saya gagal mendapatkan A1 bagi semua subjek berkenaan? Teringat kertas Biologi yang telah membuat saya hampir berputus asa di saat akhir.

Saya menepis semua perasaan-perasaan negatif dan memikirkan tentang satu hal sahaja, ‘Saya telah usahakan yang terbaik setahun ini. Tiada apa yang perlu saya kesalkan’.

Tatkala kaki saya tiba di bilik guru dan Guru Penyelia terpandang saya; “Madihah! Cepat! Awak datang dengan apa? Mak ayah awak mana? Cepat ikut cikgu. Wartawan dah ramai dah tu, lama menunggu di luar pagar sekolah!”

Saya hilang kata-kata.

“Ha?”

“Kejap kejap, result saya dah dapat ke?”

“Cikgu dah semak, awak dapat semua A1, kecuali satu atau dua subjek sahaja dapat A2. Sekarang ada orang tengah cuba nak dapatkan slip awak untuk diumumkan di tempat lain. Tak apa, jangan risau semua tu. Cikgu uruskan. Awak kena prepare untuk interview nanti. Awak tak ada blazer kan? Tak apa, ikut warden asrama, pinjam je blazer sesiapa dulu”.

Slip keputusan SPM saya akhirnya berjaya didapatkan. 19 A1 dan 1 A2.

A2 untuk subjek Biologi yang saya memang sudah tebak. Entah mengapa Biologi jadi subjek paling sukar untuk skor, walaupun dalam kelas saya selalu jadi pelajar kesayangan.

Tidak lama kemudian, arwah umi saya tiba bersama ibu saudara yang membantu menjemputnya di tempat kerja. Bapa saya tiba di dewan sekolah dengan separuh percaya.

“Sejak bila pula kak long ambil banyak subjek? Tak pernah beritahu pun?”

Bukan sering saya katakan? Saya anak perempuan yang telah diserahkan kepercayaan.

Malam itu, bapa mengimamkan solat jemaah dengan linangan air mata kesyukuran.

Apa jadi seterusnya?

Panjang untuk saya kisahkan. Tak perlu untuk saya rakamkan semuanya di sini. Tunggulah karya khusus yang akan saya dedikasikan untuk perjalanan peribadi yang telah saya lewati setelah impian dicapai.

Saya menuliskan ini bagi menuntaskan persoalan-persoalan remeh temeh dan umpat-mengumpat yang sedang berlegar di atas talian.

Ia seolah-olah sudah menjadi ritual tahunan. Apabila tiba sahaja musim keputusan SPM diumumkan, nama saya akan dipetik semula dan orang mencari di mana “Nik Nur Madihah”?

Bagaikan saya tidak pernah wujud sebelumnya. Sedangkan saya aktif sahaja bergiat di lapangan.

Saya ada di sini. Memberi kepada masyarakat dengan cara tersendiri. Tidak kira ia diperakui oleh sesiapa atau tidak. Tidak peduli ia dipandang atau tidak.

Saya hidup kerana Ilahi. Dan saya hanya perlukan pengiktirafan dari Ilahi.

Adakah Nik Nur Madihah gagal?

Sebelum anda mempertanyakan soal gagal atau berjaya, saya pertanyakan dahulu- apa kayu ukur kegagalan atau kejayaan yang anda gunakan?

Jika kayu ukur yang digunakan antara kita tidak sama, apakah keperluannya urusan-urusan berkenaan dibangkitkan?

Apakah kepentingan kejayaan atau kegagalan saya dipertanyakan?

Untuk dijadikan panutan atau teladan? Sempadan atau perbatasan kepada generasi di masa hadapan?

Jika begitu, bukankah sudah sering saya ulang? Bahawa sebaik-baik teladan yang harus kita sibukkan diri untuk pelajari ialah Utusan Terakhir Muhammad SAW, tidak kiralah anda sebagai seorang Muslim ataupun bukan.

Adakah saya merasakan ‘resentment’/ dendam terhadap kejayaan saya sendiri?

Mereka yang mengikuti penulisan saya di media sosial ini kadang-kadang akan dapati, saya menyebut bahawa saya tidak mahu orang mengenali saya sebagai Pelajar Terbaik SPM yang merangkul 20A.

Adakah ini bermaksud saya menyesali apa yang terjadi?

Atau membenci pencapaian saya sendiri?

Let me make it clear, once and for all.

Saya tidak pernah meratapi rezeki yang dianugerahkan oleh Ilahi. Betapa sombongnya saya jika membenci nikmat yang Tuhan limpahkan ke atas saya dan keluarga sejak impian saya dipenuhi.

Tetapi pendirian saya tegas begitu sekali kerana saya mahu memecahkan PEMUJAAN PERIBADI yang merosakkan psyche masyarakat dan menjauhkan kita semua dari kebenaran yang asli.

Jalan hidup setiap orang berbeza.

Hanya kerana saya mencapai straight A’s bagi 20 mata pelajaran dalam SPM, tidak bermaksud itu juga ukuran yang perlu orang lain guna.

Saya telah belajar bahawa – kehidupan seorang manusia itu hanya akan jadi bermakna apabila ia mengenal dirinya sendiri; lemah dan kurang, kuat dan lebih dan berusaha memperbaiki diri dalam perjalanan mengenali sebuah kebenaran.

Bahawa kebahagiaan itu adalah kemuncak yang tak perlu ditakluk, kerana ia adalah satu hal yang letaknya di jiwa, tidak kira di mana pun kita berada.

Apakah perjalanan pengajian saya satu bentuk kerugian?

Saya menggemparkan negara sekali lagi dengan keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang Fizik, ketika kebanyakan pelajar terbaik sebelum saya menyambung pengajian dalam bidang Perubatan.

Tidak dinafikan, saya memperoleh apa yang saya sendiri mahukan. Sejak kecil saya memang minat bidang Sains dan Matematik. Gemar menatap langit, mengkagumi bebintang, gemar mempersoalkan keajaiban alam.

Pembaca tegar novel sains fiksyen, back then. Maka, dengan ‘kepintaran’ yang Tuhan berikan, sebaik-baik pilihan adalah bidang Sains yang tidak ramai orang punya keupayaan.

Begitu saya mempertimbang.

Tetapi jiwa saya adalah jiwa sekolah agama. Sekolah Arab – istilah orang kampung saya. Saya buat keputusan gila sekali lagi. Saya ke Jordan, menjadi satu-satunya pelajar asing yang menyambung dalam bidang Fizik di negara Arab berkenaan.

Mereka katakan saya ‘lonely’, keseorangan, tak kuat untuk berhadapan cabaran di perantauan menyebabkan saya lari pulang.

Ada satu momen yang tak pernah saya khabarkan kepada sesiapa.

Waktu itu, di Irbid. Seorang aktivis dari tanah air tiba ke Irbid untuk berprogram. Saya tidak sertai acara berkenaan kerana sudah punya rencana sendiri.

Tetapi rakan-rakan yang menghadiri program berkenaan pulang dan menyampaikan; “Madihah, tadi penceramah cari awak”.

Saya tahu beliau ialah tokoh yang disegani. Juga keluaran Jordan. Seorang yang kalau saya sebutkan namanya sekarang, semua orang kenal.

“Oh ya? Ustaz ada cakap apa-apa fasal saya ke?” Pada waktu itu, beliau masih belum bergelar YB.

“Dia kata memang bila awak decide untuk ambil Fizik tu dah mengejutkan negara, tetapi kalau awak kata awak nak ambil Pengajian Islam, lebih-lebih lagi negara akan terkejut”.

Saya terkedu seribu bahasa.

Saya tak pernah suarakan kepada rakan-rakan sebaya bahawa penyataan berkenaan terpaku di benak fikiran saya untuk tempoh yang lama.

Semester pertama di Jordan University of Science and Technology (JUST) adalah tempoh yang sangat sukar. Di hujungnya, dua minggu cuti semester saya pulang ke tanah air dan kumpulkan kekuatan.

Saya kembali semula ke JUST dengan semangat yang baru. Saya perfomed well dan menutup tahun berkenaan dengan peratusan yang boleh dianggap cemerlang.

Atas premis berkenaan, bahawa saya masih meminati bidang Fizik, hanya kekangan tempatnya sahaja yang tidak kondusif untuk saya berkembang – saya mengutarakan kepada pihak penaja bahawa saya mahu menukar tempat pengajian.

Mereka benarkan tanpa banyak soal. Lagi pula, memang lebih cocok seorang ‘pelajar cemerlang kebanggaan negara’ ke benua Eropah; UK misalnya. Atau USA paling kurang.

Maka saya membuat persiapan seterusnya.

Namun, sejak usia beranjak awal 20’an, saya dapati persoalan-persoalan saya tentang agama sendiri semakin tidak terbendung. Saya yang selama ini dibesarkan di sebuah negeri serambi Mekah, menadah ilmu di sekolah agama, mendapati kefahaman saya sendiri terhadap kewujudan insan sebagai hamba Tuhan di dunia ini gagal dijawab dengan sempurna.

Ujian-ujian yang datang semasa di kolej yang berbentuk kematian orang-orang yang dekat, membuat pertanyaan-pertanyaan saya makin tajam.

Saya gagal menemukan jawapan dari bidang yang saya agungkan selama ini; Sains dan Matematik.

Jika kehebatan saintifik tidak membantu saya menyelesaikan permasalahan hidup yang sepatutnya cukup sederhana, then what will?

Pulang ke akar umbi

Saya memaksa diri untuk bertahan. Menyelesaikan A Level dengan straight A’s sekali lagi, saya terbang ke Nottingham dengan satu matlamat; to complete my degree in three years time dan sambung pengajian agama pula.

Sekejap sahaja, saya memujuk diri.

“I can’t be taking another turn, can I?”

Saya tidak mahu membuat keputusan yang akan mengejutkan penaja sekali lagi.

Tetapi enam bulan pertama, saya semakin tidak keruan. Ulang alik ke kuliah seperti mesin tanpa perasaan, buat saya persoalkan. “Kau ni hidup kenapa dan nak cari apa sebenarnya?”

Kali ini saya lebih banyak bertanya dan meluahkan perasaan kepada ahli keluarga sahaja. Saya diam dari media sosial dan tidak banyak berhubungan dengan sesiapa.

Circle saya jadi kecil sebab saya bingit dengan pelbagai jenis pendapat dan suara.

Dan akhirnya di hujung Skype, arwah umi saya menuturkan, “umi dengan ayah sokong sahaja apa yang kak long putuskan. Apa yang kak long rasa baik untuk diri sendiri, buatlah.”

Maka saya memutuskan sekali lagi.

Tidak kira apa pun yang orang kata, saya akan buat keputusan dan bertanggungjawab sepenuhnya.

Saya menghantar emel pemula perbincangan kepada pihak penaja.

And the rest is history.

Setelah 12 tahun, di mana seorang Nik Nur Madihah?

Saya menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam Ilmu Wahyu, Al-Quran dan Sunnah di UIA pada tahun 2018.

Tersenarai sebagai penerima Rector’s List walaupun sepanjang saya belajar di UIA, saya tidak pernah meletakkan target mahu bergraduasi dengan apa-apa pencapaian.

Saya cuma mahu meneguk sebanyak-banyak ilmu supaya dapat penuhkan gelas saya yang sedang kosong.

Empat tahun di UIA Gombak- tahun pertama, arwah umi meninggal dunia.

Tidak ramai yang tahu bahawa sejurus tiba di tanah air, arwah umi saya didiagnos dengan COPD- Chronic Pulmonary Obstructive Disease.

Semasa ditemu duga oleh panel yang membuat tapisan kemasukan ke UIA, (saya masuk secara direct intake), salah seorang panel menyindir saya dengan mimik muka mengkritik kerana dia membaca personal statement saya yang baru saja pulang dari UK tanpa menamatkan pengajian di sana,

“probably you’re just being ‘homesick’?”

Lalu saya jawab secara spontan, “well probably so, my mother is sick.”

Dan saya sempat menangkap wajah terkejutnya dan penyesalan kerana cuba menghakimi saya, sebelum saya melangkah keluar dari bilik berkenaan.

Anda fikir dengan semua hal ini, anugerah sebatas ‘rector’s list’ di majlis konvokesyen berhak menjadi hadiah yang menawarkan kepahitan yang telah saya harungi?

Mustahil.

Saya telah bertumbuh sebagai perempuan yang harus mandiri, belajar tentang kehidupan lebih dalam dari apa yang mampu ditawarkan di mana-mana institusi.

Anak perempuan yang dibesarkan oleh tangan seorang perempuan yang lembut dan jujur, ikhlas dan penuh kecekalan.

Seorang perempuan yang meletakkan anak-anak di hadapan semua kehendak dirinya sendiri. Seorang perempuan yang telah mewariskan ketabahan dan kecintaan terhadap pengetahuan.

Belajarnya tidak tinggi, tuturnya tidak petah, tetapi dari rahimnya telah lahir empat orang anak yang sedang mekar di masing-masing lapangan.

Hanya satu kata keramat yang saya pegang sehingga hujung nyawa,

“Umi dengan ayah tak ada harta untuk anak-anak, hanya pendidikan yang boleh diberikan, jadi anak-anak belajarlah baik-baik”

Penutup untuk seketika

Saya telah menanggalkan jubah kemasyhuran sejak soalan pertama saya gagal dijawab oleh orang-orang berautoriti yang sepatutnya punya ilmu agama ketika itu.

“Jelaskan kepada saya, kenapa ini semua bukan satu bentuk kemunafikan, ustaz?”

Saya tahu saya harus memeriksa sendiri. Berperjalanan sendiri.

Para guru saya boleh jadi saksi, sejak di sekolah rendah sehinggalah memasuki sekolah menengah- saya memang anak yang penuh dengan persoalan.

Sehingga pada banyak ketika, mereka akan ‘surrender’ dan katakan, “Cikgu tak tahu lah, nanti awak besar awak cari sendiri”

So that’s it.

I always take things into my own hands.

Saya memilih haluan saya sendiri. Dan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap satu pilihan yang saya buat dengan kerelaan hati.

Tidak ada satu pun pilihan yang saya sesali.

Jika diberikan peluang mengulang hidup sekali lagi, saya tetap akan membuat pilihan yang sama. Tidak ada sebarang kelewatan yang saya anggap rugi.

Di jalan ini, saya telah dihadiahkan hikmah yang tak pernah saya bayangkan. Dipertemukan dengan seorang sahabat sehidup semati yang telah sama-sama bersaksi bahawa hidup kami adalah sebuah devosi terhadap kepercayaan yang diandal cinta kepada Ilahi.

Membangun pemikiran kritis

Saya tidak pernah mengaku diri saya genius atau menganggap diri berintelektual tinggi berbanding orang lain. Saya cuma ada semangat untuk belajar dan sedikit keberanian untuk menghadapi rintangan dalam perjalanan mengenal Kebenaran.

Rasa ingin tahu, dan ‘izzah terhadap ‘aqal yang dikurniakan oleh Tuhan.

Sesuatu yang saya percaya, juga ada dalam diri setiap orang.

Tidak ada yang istimewa pada sosok seorang NNM. Sama sahaja seperti orang lain, sedang berusaha memberi makna kepada setiap kelebihan yang Tuhan pinjamkan.

Saya selalu percaya, setiap orang ada kepandaian masing-masing. Bezanya, di jalan mana kepandaian berkenaan digunakan?

Satu perkara yang perlu saya tekankan adalah:

Pencarian kita kepada sebuah kebenaran tidak pernah bersifat peribadi, sebab apa yang kita temukan adalah sebahagian dari kefahaman yang membentuk semesta.

Oleh yang demikian, jangan ingat kejahilan kita adalah milik peribadi. Sebab kejahilan kita adalah beban kepada masyarakat secara keseluruhan.

Maka renungkanlah, mahu jadi manusia yang celik dan mencelikkan atau yang buta dan membutakan?

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍۢ ٧٩

Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.

وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ لِّمَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ ٨٠

Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.