Jajaran politik baharu PKR, kerjasama UMNO-PKR dalam masa terdekat?
Bayangan jajaran politik baharu PKR bersama UMNO bakal menjadi kenyataan susulan sikap akar umbinya yang tidak lagi menyerang parti seterunya itu sepanjang dua hari berlangsungnya Kongres Nasional PKR yang bermula Jumaat lalu.
Pendirian perwakilan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menolak kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan menimbulkan persoalan adakah pendirian terbaharu PKR kini “YES UMNO, NO Tun M dan NO Warisan”?
Kebersamaan PKR dengan UMNO ini secara tidak langsung memberi gambaran jelas kemungkinan jajaran politik baharu yang sebelum ini disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi bukan lagi cakap-cakap kosong semata-mata dan ia hanya menanti masa sahaja untuk direalisasikan.
Berbeza dengan kongres terdahulu, serangan perwakilan PKR selalunya tertumpu kepada parti musuh tradisi mereka UMNO bagaimanapun kali ini kiblat kecaman nampaknya lebih cenderung kepada Dr Mahathir dan parti yang cenderung dilihat mesra dengan bekas Perdana Menteri itu, iaitu Warisan.
Sumber dalaman PKR memberitahu langkah tersebut adalah selari dengan pendirian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu para perwakilan membawa naratif lebih mesra UMNO bagi memastikan mesej jajaran politik baharu dapat disampaikan terus ke bawah akar umbi nanti.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata PKR sedang memujuk akar umbinya untuk menerima UMNO bagi menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, namun menyifatkan ia bukan suatu yang mudah kerana kedua-dua parti itu merupakan musuh tradisi dalam politik.
“Memang boleh cakap Zahid baik dengan Anwar tetapi bawah nak tak? UMNO bukan Zahid seorang sebab nak bekerja yang bawah ini.
“Jika ia terlaksana kemungkinan UMNO akan berpecah belah,” katanya kepada Agenda Daily.
Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PKR sebuah parti yang berpengalaman dalam politik negara dan juga memiliki kekuatan tersendiri memandangkan mereka memiliki sokongan pengundi daripada pelbagai kaum.
“PKR merupakan parti yang sudah ditubuhkan lebih 20 tahun dan banyak mengharungi pancaroba pahit manis, jatuh bangun dan tak kurang juga dikhianati.
“Kemenangan PKR pada PRU 2018 yang begitu besar membuktikan kekuatan dan potensi parti itu sebagai parti berbilang kaum yang semakin diterima ramai,” katanya kepada Agenda Daily.
Menurut beliau lagi, sikap perwakilan menolak Dr Mahathir yang ditunjukkan dalam kongres kali ini menunjukkan mereka sudah belajar daripada kesilapan dan tidak mahu bergantung kepada bekas Perdana Menteri itu lagi.
“Peristiwa ini (tumbang Pakatan Harapan) tak mungkin dapat dilupakan oleh PKR dan tak mahu pisang berbuah dua kali sekiranya bekerjasama dengan Dr Mahathir. Sentimen ini difahami terus bertapak kukuh kalangan akar umbi PKR,” katanya.
Beliau juga berkata PKR akan memilih untuk bersama UMNO yang dilihat lebih memiliki jentera yang kuat dan sekiranya kerjasama dijalinkan ia akan membantu kemenangan mereka dalam PRU nanti.
“Dalam konteks ini PKR mampu bergerak tanpa perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir serta sekutu.
“Jika kerjasama PKR dengan Mahathir bermakna PKR terpaksa berkongsi agihan kerusi sedangkan Dr Mahathir dan sekutunya dilihat lemah dan tidak ada jentera di peringkat akar umbi berbanding jentera dan akar umbi PKR,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kongres Nasional AMK dan Wanita 2020 menjadi medan mengecam Dr Mahathir, yang disifatkan para perwakilan sebagai insan disebalik kejatuhan pemerintahan PH.
Sebelum ini, Zahid juga sudah memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0 PRU-15 nanti.
Beliau juga memberi bayangan bahawa ada usaha ke arah itu yang melibatkan gabungan bersama PKR dan DAP selepas mempertimbangkan kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil juga berkata cadangan pembentukan gabungan PKR-UMNO dilihat sebagai cadangan yang baik namun ia memerlukan persefahaman sesama parti komponen dan harus melihat realiti dalam politik negara.
PH juga sudah mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka dan UMNO juga perlu menerima cadangan tersebut sekiranya mahu kerjasama tersebut menjadi kenyataan.
Sumber: agendadaily