‘Jadi influencer yang bermaruah, jangan semata ikut logik akal’ – Ustazah Asma Harun tampil beri teguran pedas

‘Jadi influencer yang bermaruah, jangan semata ikut logik akal’ – Ustazah Asma Harun tampil beri teguran pedas

 

Pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau terkenal dengan sikap keterbukaan dalam memberi teguran. Ustazah Asma’ turut tertarik untuk bersuara mengenai isu pempengaruh, Sabrina Azhan yang mempertahankan minatnya menari dan mengaitkan perkara tersebut dengan agama.

Tegur sebab sayang

Kata Ustazah Asma’, cara hidup seorang wanita Islam bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya iaitu Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

Menerusi hantaran di Facebook, Ustazah Asma’ menyatakan seharusnya video tarian itu disimpan dan menjadi koleksi peribadi kerana telah menayangkan pergerakan anggota badan.

Jika kita sebut tentang tarian, pasti ia melibatkan pergerakan tangan, bahu, dada, kaki dan punggung yang berlatar belakangkan apa jua jenis muzik. Seharusnya video-video tersebut hanya disimpan untuk tatapan peribadi, tetapi hari ini ia dimuat naik secara terbuka untuk tatapan seluruh warga maya tanpa ada rasa segan dan silu.

Mungkin kita berbangga mendapat jutaan ‘followers’ dan ‘viewers’ apabila memuat naik video-video tarian, namun tidak terfikirkah andai satu hari nanti ingin bertaubat, dosa kita insya-Allah boleh terpadam dengan taubat nasuha, namun bagaimana dengan video-video tarian lama yang telah didownload oleh orang ramai?

Bagaimana pula jika tidak sempat bertaubat lalu ajal terlebih dahulu menyapa kita? Dosanya kita tanggung secara berterusan walau sudah berada di alam kubur.

Islam menggalakkan perkembangan seni

Mengulas lebih lanjut lagi, Ustazah Asma’ berkata Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.

Sedar atau tidak, inilah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang perlahan-lahan mula meracuni pemikiran masyarakat kita.

Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat berbahaya. Apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.

Benar, Islam juga menggalakkan perkembangan seni di dalam agama itu sendiri selagi mana ia bermanfaat, namun mesti dalam lingkungan syariat yang tujuannya untuk memelihara kebaikan ummah, bukan sehingga melalaikan dan mendatangkan kesan negatif mahupun fitnah kepada umat Islam khususnya.

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ mengingatkan kepada semua personaliti media sosial untuk menjadi ‘influencer’ yang baik, berkaliber, bermaruah dan menjaga batasan.

Adakah kalian lebih utamakan minat dan bakat? Tanpa mengambil kira soal berkat, sekalipun setiap saat ajal mendekat, maka takutlah kepada yang Maha Kuat, kerana Dialah sumber kebahagiaan, kesengsaraan, azab dan nikmat.

Atas tiket apa sekalipun, jadilah ‘influencer’ yang ada rasa tanggungjawab kepada masyarakat Islam, serta tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini. Usahalah untuk hentikan apa jua ‘content’ yang menjatuhkan nilai diri sebagai orang Islam lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita Muslimah.

Sebelum ini, dalam temu bual berjudul Life of a hijabi K-pop dancer itu, Sabrina yang merupakan pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Hanyang berkata hijab tidak pernah menjadi penghalang minat dalam dunia tarian.

Malah, dia enggan ambil pusing dengan komen-komen kebencian dan memilih untuk diri sendiri. Video temu bual berdurasi dua minit 18 saat itu dikongsikan juga di Twitter @bbcworldservice.