Jadi imam di surau mall, cikgu terkedu dengar alasan anak muda ini tak mahu solat di rumah

Jadi imam di surau mall, cikgu terkedu dengar alasan anak muda ini tak mahu solat di rumah

 

Di akhir-akhir Ramadan ini, ramai umat Islam menghabiskan masa di luar untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti berbuka puasa dan berbelanja bagi membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam kesibukan dan keterujaan masing-masing, terdapat juga golongan yang berlumba-lumba melipat gandakan ibadah di bulan mulia.

Seorang guru berkongsi pengalamannya ketika melakukan perjalanan jauh ke utara tanah air, baru-baru ini.

“Hari tu saya musafir ke Kedah. Dalam pukul 9.30 malam saya singgah kat sebuah kompleks beli-belah. Lepas beli barang saya terus ke surau nak solat Isyak dan tarawih.

“Masa saya ambil wuduk memang tak ada orang. Tapi masa tengah nak bentang sejadah ada seorang budak masuk,” kata Mohamad Yusof Sulehin menerusi satu hantaran di Facebook.

Hanya mereka berdua di surau ketika itu, Mohamad Yusof yang juga bekas warden asrama tiba-tiba ditegur oleh anak muda berkenaan.

“Dia tanya ‘Bang, boleh tak jadi imam?‘. Saya beritahu saya okay je. Saya pun solat Isyak lepas tu solat tarawih. Budak tu ikut saya.

“Habis solat, dia salam saya cium tangan,” ujarnya tanpa menjelaskan usia makmumnya itu.

Kata Mohamad Yusof, tindakan budak lelaki itu mencium tangannya secara tiba-tiba sememangnya mengejutkan.

“Saya macam terperanjat juga budak tak kenal cium tangan saya ni. Selepas itu, dia beritahu ‘Terima kasih bang jadi imam malam ni. Selalu saya sembahyang seorang‘,” katanya yang mesra dengan panggilan ‘cikgu’ oleh para pengikutnya di laman sosial.

Menurut Mohamad Yusof, budak itu juga sempat bercerita mengapa dia sering ke surau sebelum pulang ke rumah.

“Habis kerja terus saya pergi surau, takut balik rumah penat tertidur ‘tak dan’ nak sembahyang.

“Allahuakbar. Budak ni ada sesuatu yang tak ramai kita dapat kecapi iaitu kemanisan beribadah. Dik, moga jadi anak soleh dan jadi anak yang berjaya dunia akhirat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mohamad Yusof merupakan penerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021.

Di ruangan komen menerusi hantaran di Facebook Muhammad Yusof itu, rata-rata netizen terharu dan kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh budak lelaki berkenaan.

“Baik sungguh, anak siapalah agaknya? Tapi betul cikgu, kadang-kadang hadir pelajar atau anak muda yang tidak dikenali salam cium tangan ni, tersentuh hati.

“Alhamdulillah, jarang dapat jumpa anak muda macam ni. Moga anak ini berjaya dunia akhirat,” demikian komen netizen.