Jabatan Perikanan sahkan sotong frozen tiada DNA babi

Jabatan Perikanan sahkan sotong frozen tiada DNA babi

 

Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Mohd Sufian Sulaiman berkata, jabatan itu melalui makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur, sudah menjalankan identifikasi analisisa porsin ke atas sampel gegelang sotong itu.

“Justeru, DOF menegaskan beberapa sampel gegelang sotong sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna tempatan adalah selamat, dan tidak mengandungi DNA babi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan lanjut.

Mohd Sufian berkata pusat biosekuriti berkenaan adalah badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan sumber laut, bagi kegunaan oleh pengguna Malaysia.

Beliau berkata, selain mempunyai kepakaran mengesan DNA babi, pusat biosekuriti itu juga bertanggungjawab memastikan makanan laut dalam pasaran dan diimport ke negara ini, bebas penyakit dan kandungan dilarang selain penternak perlu mematuhi peraturan antarabangsa.

“Untuk produk makanan laut yang mahu dieksport pula, penternak perlu mendapatkan sijil keselamatan ikan dan sijil bebas bahan dilarang, barulah mereka boleh eksport produk itu,” katanya bahawa makmal itu telah diakreditasi MS ISO 17025.

Mohd Sufian juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar, kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan keraguan dalam kalangan pengguna.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan gegelang sotong yang dijual di pasaran, diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong.