Jabatan Perikanan Perak rampas 147 bubu naga

Jabatan Perikanan Perak rampas 147 bubu naga

Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Perak merampas 147 bubu naga yang ditemui di perairan Pantai Remis dekat sini kelmarin dan semalam.

Ketua Pangkalan Utama CPS Kampung Acheh, Mansor Yobe, berkata semua bubu naga bernilai RM11,760 itu ditemui di lokasi 0.4 batu nautika Tanjung Batu hingga ke 8.7 batu nautika Pulau Talang.

“Hasil daripada aduan awam, sepasukan enam anggota CPS telah digerakkan dengan bot Ronda PL91 ke perairan tersebut bagi melakukan siasatan antara pukul 9 pagi kelmarin hingga 10 pagi semalam.

“Setelah pemantauan dua hari tersebut, sebanyak 147 buah bubu naga yang dipasang di situ telah dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, penggunaan bubu naga bagi menangkap ikan adalah dilarang dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki atau memasang peralatan menangkap ikan tanpa suatu kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat enam laporan polis berkaitan rampasan itu dan semua bubu naga itu dibawa ke pejabat CPS Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya. – KO