“Itu #blockout bukan #makiout” – Mira Filzah suruh netizen jaga mulut
Tidak berdiam diri, pelakon Mira Filzah menegaskan dia kerap memuat naik hantaran mengenai Palestin dalam media sosial sekali gus menyangkal dakwaan ramai dirinya hanya berdiam diri berkaitan hal tersebut.
Mira atau nama penuhnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, berkata, pengikut Instagramnya pasti menyedari akan kelantangannya berkongsi tentang kekejaman Zionis dalam media sosial sebelum ini.
“Siapa yang datang semata-mata nak ‘stalk’ (mengintip) sahaja rasa ‘dan dan’ kongsi.
“Siapa yang sudah lama ikuti akaun media sosial, mesti tahu apa yang saya selalu kongsi. Mari saya tunjuk ya.
“Sebelum 12 Mei, (sebelum trend boikot artis jadi viral) pada tarikh 7 hingga 10 Mei pun saya ada muat naik. Sejak Januari pun sudah muat naik, bukan ‘dan dan’ (tiba-tiba),” katanya dalam aplikasi X.
Tambah Mira, dia turut menegur netizen agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat berkaitan gerakan boikot yang dilancarkan dalam media sosial.
“Saya bercakap ini untuk semua. Lakukan apa sahaja yang anda mahu. Kalau ingin sekat, buatlah tetapi tidak perlu sampai keluarkan kata-kata yang tidak baik.”
“Itu ‘blockout’ bukan ‘makiout’. Ingat, penulisan kita pun ada dosa dan pahala,” ujarnya.
Difahamkan, nama Mira tersenarai dalam artis yang perlu diboikot kerana menjadi duta bagi produk pewangi.
Terdahulu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai tanda rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.
Antara nama besar yang diboikot ketika ini ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga dan Justin Bieber.
Netizen Malaysia juga turut tidak ketinggalan menyuarakan hal serupa dan menyenaraikan beberapa nama selebriti yang dikatakan masih mempromosikan produk menyokong Israel tanpa segan silu.
Selain Mira Filzah, nama artis tempatan yang turut disebut ialah Nadhir, Scha Alyahya, Daiyan Trisha, Eyka Farhana, Nabila Razali, Ameera Khan dan Neelofa.