Itik gantung ala Hong Kong

Itik gantung ala Hong Kong

 

Jadi bidan terjun. Pasangan bekas pengamal media tidak menyangka cubaan mereka menceburi bidang perniagaan makanan berasaskan itik mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di bandar raya ini.

Bekas wartawan penyiaran Bernama TV Amira Hanis Mohd Asri, 33, dan suaminya Razman Nazrin Shah Abdul Aziz, 34, yang juga bekas Pembantu Pengurus Pentas di Pak Ngah Production membuat keputusan berhenti bekerja di ibu negara dan pulang ke kampung halaman mereka di sini serta memulakan perniagaan itik panggang sejak tiga tahun lalu.

“Suami suka memasak dan selalu menyediakan hidangan itik panggang untuk keluarga. Jadi saya cadangkan kami menjualnya kerana percaya ia boleh mendapat permintaan tinggi.

“Kami pernah cuba menjualnya secara dalam talian di sekitar Bangi dan Damansara sebelum membuka gerai di Ipoh. Alhamdulillah. Bermula dari gerai, kini kami beroperasi sepenuhnya di sebuah restoran,” kata Amira Hanis ketika ditemui Bernama di restorannya Ipoh Smokey Roasted Duck di Pusat Perdagangan Jelapang 2 di sini, baru-baru ini.

Amira Hanis berkata, menu istimewa yang paling diminati pelanggan set Smokey Roasted Duck iaitu hirisan dada itik panggang dihidangkan bersama nasi, sayur coleslaw, salad dan sos bawang putih.

Selain set itik panggang, menu lain yang tersedia di restoran ini ialah nasi itik, nasi ayam dan mi wantan itik serta mi wantan ayam yang begitu sinonim dengan masyarakat Cina. Restoran ini juga menggunakan daging itik segar setiap hari bagi memelihara kualiti makanan dan semua menu dijamin halal, kata Amira Hanis.

“Kami juga melakukan proses percubaan beberapa kali untuk dirasai pelanggan sehingga kami memperoleh hasil rasa itik gantung ala Hong Kong yang betul-betul enak dengan ramuan perapan daripada lima rempah terpilih.

“Proses memanggang itik dan ayam juga memerlukan kesabaran dan penyesuaian suhu bagi memastikan daging itik garing di bahagian luar namun isinya dimasak sempurna dan lembut di bahagian dalam,” jelasnya.

Walaupun rutin harian Amira Hanis berbeza dari dulu, iaitu menjalani gaya hidup glamor sebagai pembaca berita, namun kini beliau lebih senang sebagai peniaga makanan.

“Rasa seronok kerana dapat memenuhi selera makan pelanggan dengan hidangan itik selain Perak merupakan antara negeri terbesar di Semenanjung yang mempunyai kawasan ternakan itik,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Amira Hanis berkata, menu itik panggang itu semakin laris selepas seorang pentadbir laman sosial Facebook tempatan (MohKeIpoh, Oh my Perak) menempah hidangan daripada restorannya dan mempromosikannya sehingga ia tular dan mendapat komen positif warganet.