Bront Palarae menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Thailand

Bront Palarae menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Thailand

 

Bront Palarae menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Thailand

Bront Palarae mencipta sejarah apabila meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem seram, The Cursed Land pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21 di Thailand.

Berkongsi berita gembira itu di Instagram (IG), Bront atau nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, memberi dedikasi kejayaan itu kepada pasukan produksi filem arahan Panu Aree itu.

“Berlakon dalam filem Thailand terasa seperti melangkau impian. Pengiktirafan ini benar-benar di luar jangkaan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kumpulan The Cursed Land. Kerja keras anda semua menjadikan pencapaian ini suatu kenyataan.

“Ucapan terima kasih khas kepada Panu Aree dan Kong Rithdee atas jemputan, serta Penerbit Kreatif, Nonzee Nimibutr, ahli sinematografi, Chankit (Sinematografer) dan Penolong Pengarah Pertama, Suraphi atas kesabaran dan sokongan anda yang tidak pernah luntur,” katanya.

Bront menewaskan lima calon lain iaitu Benjamin Varney yang membintangi filem In Youth We Trust; Bhumipat Thavornsiri (In Youth We Trust); Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis); Sanya Kunakorn (How to Make Millions Before Grandma Dies) dan Pongsatorn Jongwilas (How to Make Millions Before Grandma Dies).

Bront berkongsi kejayaan memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Thailand, melalui perkongsian Instagram (IG). Foto IG Bront Palarae

Selain Pelakon Pembantu Terbaik. filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Visual, Pelakon Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Bront turut menyifatkan pembabitan dalam filem itu sebagai pengalaman istimewa kerana berpeluang bekerjasama dengan karyawan hebat Thailand.

“Berkongsi layar bersama pelakon berbakat seperti Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon dan dua pelakon Melayu, iaitu Han Zalini dan Firdaus Karim adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Bront berharap industri perfileman Thailand dapat mengangkat cerita mengenai masyarakat Melayu terutama di wilayah Selatan negara itu.

“Saya harap suatu hari nanti, filem Thailand akan lebih banyak mengetengahkan kisah suara-suara kecil dan sejarah yang kaya dalam komuniti Melayu di selatan negara itu.

“Ini adalah kisah yang layak untuk didengar dan diraikan,” katanya.

Bront pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015)

Anugerah Baan Nang Klang Lakorn adalah acara anugerah berprestij yang memberi pengiktirafan kepada karya televisyen (TV) dan platform penstriman di Thailand yang cemerlang sepanjang 2024.