“Nenek kau, tok kau punya tempat ke?” – Isu tapak jualan, pakcik ‘sound’ peniaga baru

“Nenek kau, tok kau punya tempat ke?” – Isu tapak jualan, pakcik ‘sound’ peniaga baru

 

Bila mahu berniaga di jalanan, pelbagai liku dan rintangan perlu dihadapi kerana ada sahaja individu yang akan tidak berpuas hati. Lebih teruk lagi, mereka datang dari bangsa sendiri yang tidak senang melihat orang lain berusaha lebih darinya.

Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memperlihatkan seorang peniaga nasi lemak secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki memarahinya ekoran isu tapak jualan.

Di dalam video itu, pemuda itu telah disapa oleh seorang pak cik dengan nada keras lalu mempersoalkan bagaimana dia mahu berniaga jika tapak jualannya telah diambil orang.

Tambahnya, tapak tersebut adalah miliknya kerana telah lama berniaga di situ. Jadi, dengan kehadiran peniaga baru itu dilihat bakal mengganggu operasinya dan menggugatkan jualan dalam masa sama.

Pak cik tersebut meminta peniaga baru mengalihkan gerai ke tempat lain sambil merungut dengan bahasa kasar.

“Siapa suruh buka dekat sini? Nasi lemak tu eh? Oh kau beli gerai dengan dia, tapi taruk dekat tempat aku. Macam mana? Kau taruk sebelah dia, tempat dia. Ikut suka mak bapak dia punya tempat. Orang dah berapa lama dah,” rungut orang tua itu.

Pemuda itu pun lalu memberi respons yang dia membeli gerai tersebut dengan salah seorang peniaga di situ juga.

“Hari tu aku ada jumpa dia, aku dah cakap, “Nenek kau, tok kau punya tempat ke? Habis aku nak berniaga macam mana?” ujarnya lagi.

peniaga

Boleh kedengaran Pak Cik itu masih berkeras mahu mengatakan peniaga baru itu telah mengambil tempatnya untuk berniaga walaupun realitinya semua berhak berniaga dengan peluang yang sama.

Tidak mahu memanjangkan cerita, pemuda itu terpaksa beralah serta sedia mengalihkan tapak jualan dan mengganggap tiada rezekinya di situ.

Lebih menyakitkan hati di sebalik insiden itu sebenarnya adalah pak cik itu sudah lama tidak beroperasi namun secara tiba-tiba mahu membuka perniagaan semula selepas melihat pemuda itu berniaga berdekatan tapak jualannya.

“Bila bangsa sendiri tak support kita. Stall dah tak buka tiba-tiba nampak orang baru meniaga terus buka siap ada table,” tulis pemuda di kapsyen video.

Perkongsian video tersebut telah mengundang rasa simpati di kalangan netizen dan ramai berharap pemuda itu akan terus kuat menghadapi cabaran dan paling utama sekali melaporkan kepada pihak berkuasa dalam mendapatkan keadilan.