Isu sedang jadi perbualan, RTM memilih untuk tangguh tayangan drama pelakon terpalit kontroversi

Isu sedang jadi perbualan, RTM memilih untuk tangguh tayangan drama pelakon terpalit kontroversi

 

Pihak RTM tangguh tayang drama artis bermasalah membabitkan beberapa pelakon yang namanya kini terpalit dengan kontroversi panas.

Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memaklumkan yang tatasusila dan sosial pelakon sangat dititikberatkan lebih-lebih lagi sebelum membintangi drama yang bakal ditayangkan di stesen TV berkenaan.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana pelakon. Cuma, apa boleh dikatakan, isunya sedang menjadi perbualan sekarang… (dan) saya sudah menghubungi penerbit drama itu, memaklumkan RTM akan menangguhkan siaran dramanya.

“Bukan apa, apabila drama ditayangkan, pihak stesen perlu buat promosi dan atur sesi temu bual bersama wartawan. Pada ketika itu nak jawab apa?

Justeru, perkara sebegini sudah lama dibincangkan dengan semua pembekal drama yang mana kena pastikan tidak ada masalah sensitif seperti tatasusila dan sosial. Malah, penerbit pun sudah sedia maklum.

“Kenapa kita berbuat demikian? Sebab apabila drama ditayangkan, mereka menjadi ‘role model’ kepada masyarakat,” katanya.

Namun begitu, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memilih cara lebih halus dengan memberikan  rawatan psikologi, jiwa dan khidmat profesional daripada terus mengenakan tindakan gam atau banned kepada selebriti-selebriti berkenaan.

Ujar Suhaimi, mereka seharusnya diberi bantuan bukannya dibuang sewaktu berhadapan dengan masalah atau disanjung ketika mengecapi populariti.

“Di RTM kita percaya sekiranya seseorang itu bermasalah, dia kena mendapat pertolongan. Jangan masa artis itu sedang popular dia disanjung, tapi apabila ada masalah dia dibuang.

“Kita tidak tahu sama ada dia mempunyai masalah jiwa atau psikologi yang memerlukan bantuan.

“Kita kena terima hakikat yang mana dalam dunia hiburan ini, apa saja boleh berlaku. Dalam perkara sebegini, kita punya pendirian kena bantu dan bukan sisihkan,” jelasnya.

Susulan daripada itu, beliau menegaskan drama lakonan selebriti terbabit akan ditangguhkan dahulu tayangannya sehingga dia mendapat rawatan profesional dan keadaan kembali tenang.

“Soal nak gam ini takkan boleh selesaikan masalah. Jangan bunuh kerjaya seseorang artis itu.

“Bagaimanapun, sekiranya ia membabitkan salah laku jenayah kita memang tidak boleh terima,” ujarnya lagi.

Sejak kebelakangan ini, beberapa nama selebriti terkenal telah terpalit dengan kontroversi yang agak mengejutkan lebih-lebih lagi berkaitan hal rumah tangga dan aib.

Walaupun ia bukanlah berkaitan dengan kerja, namun masalah peribadi mereka telah mencetuskan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat sehingga menimbulkan polemik antara selebriti dua buah negara.